Edited by Aking at 24-1-2021 04:41 PM
Berita Harian
Zulfaizan Mansor
[email protected]
KUALA LUMPUR: Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim memilih pengendali Tottenham Hotspur, Jose Mourinho sebagai pengurus yang paling digemarinya.
Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) mendedahkan perkara itu ketika sesi soal jawab santai bersama peminat di ruangan akaun Instagram miliknya, semalam.
"Jose Mourinho, kerana dia adalah juara, jujur," kata TMJ ketika menjawab salah satu soalan yang diajukan peminat.
Pada sesi soal jawab santai itu, TMJ turut mengakui pemain bola sepak yang paling diminati beliau adalah bekas bintang Manchester United, Eric Cantona.
Selain itu, ada juga yang bertanyakan pendapat TMJ mengenai pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman dan beliau menjawab: "Pada saya dia adalah seorang ahli perniagaan. Tiada lagi, itu sahaja."
Jawapan Tunku Ismail itu turut mendapat reaksi daripada Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham.
"Saya ambik risiko melabur dalam TRW adalah sebab perniagaan. Tiada sebab lain," kata bos The Red Warriors (TRW) itu menerusi akaun Facebook miliknya selain turut memuat naik tangkap layar jawapan TMJ mengenai dirinya.
"Bukan mudah buat perniagaan, lebih-lebih lagi beli pasukan yang sudah hampir karam. Tapi Insya-Allah kita boleh kembangkan semula TRW. Bagi saya masa untuk terus bekerja dan berkarya." |