|
Rossi masih congak masa depannya
Rom: Menjelang perlumbaan MotoGP di halaman sendiri di Mugello, Valentino Rossi mengesahkan keputusan berhubung masa depannya akan diputuskan ketika tempoh rehat musim panas.
Ketika beberapa sumber terdekat dengan Rossi menyatakan pusingan keenam dan ketujuh di Mugello dan Catalunya adalah masa sesuai untuknya membuat keputusan, dia menjelaskan sebaliknya ketika ditemuramah stesen televisyen Indonesia, Trans7.
"Selepas sembilan perlumbaan, kami akan menghadapi tempoh rehat musim panas dan saya rasa akan membuat keputusan berhubung tahun depan ketika itu," katanya.
Tempoh rehat musim panas akan bermula selepas pusingan kesembilan di Assen dari 25 sehingga 27 Jun sebelum bersambung semula pada pusingan di Austria dari 6 hingga 8 Ogos.
Masa depan Rossi juga berkaitan dengan pemilihan enjin untuk pasukan miliknya, VR46 yang akan membuat penampilan pertama di MotoGP pada tahun depan.
Rossi mempunyai dua pilihan utama jika mahu terus berlumba, iaitu bersama pasukannya sekarang Petronas Yamaha atau beralih kepada pasukan miliknya, VR46 yang mungkin akan menggunakan enjin Ducati.
Ketika di Le Mans, Rossi mendedahkan pilihan enjin yang ingin digunakan untuk pasukan miliknya itu adalah antara Yamaha dan Ducati.
Dalam kata lain, pasukan VR46 mungkin akan menjadi pasukan satelit Yamaha dengan disertai oleh Petronas atau pun Rossi mengumumkan persaraan.
Rossi melalui prestasi yang tidak menentu setakat ini dan hanya menduduki tangga ke-19 kedudukan pelumba MotoGP dengan memungut sembilan mata.
Sumber:https://www.hmetro.com.my
|
|