[size=0.8]Oleh Zuliaty Zulkiffli - Ogos 21, 2021 @ 11:28am[email protected]
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/apm_1629516475.jpg)
ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (SPM) membersihkan kawasan di SK Langkasuka hari ini yang dipenuhi lumpur akibat banjir susulan fenomena kepala air Rabu lalu. - Foto APM
YAN: Lebih 80 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terbabit dalam operasi pasca banjir membersihkan lumpur di kawasan terjejas dalam tragedi kepala air di Gunung Jerai.
Ketua Bahagian Operasi Bencana APM Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah, berkata antara lokasi dibersihkan termasuk pekan Yan dan lokasi awam seperti pejabat penghulu dan Sekolah Kebangsaan (SK) Langkasuka yang rata-ratanya dipenuhi lumpur tebal sehingga setengah meter dan ada memasuki rumah penduduk.
"Operasi sejak Khamis lalu dan dijangka selesai selewat-lewatnya lima hari. Ia disertai anggota APM dari enam daerah iaitu Kota Setar, Sik, Baling, Kulim, Kubang Pasu dan Yan," katanya ketika ditemui di Pusat Kawalan Operasi di Titi Hayun, di sini hari ini.
Saifuddin berkata, pihaknya menggunakan lima lori tiga dan lima tan untuk membantu kerja pembersihan di kawasan terjejas banjir lumpur.
Sementara itu, katanya, semua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Bandar Baharu dan Kuala Muda yang dibuka susulan banjir kilat dan tragedi kepala air, sudah ditutup selepas air surut sejak semalam.
"Bagaimanapun, PPS di Yan masih beroperasi walaupun tiada mangsa di situ. PPS lain yang dibuka hari ini adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Siong di Baling yang menempatkan sebuah keluarga akibat banjir kilat," katanya.