Nibong Tebal: Polis membawa lelaki yang dipercayai merogol dan meliwat seorang kerani wanita hingga ditemui tidak bernyawa ke lokasi kejadian di Taman Seruling Emas di sini, hari ini bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung kejadian itu.
Lelaki yang berpakaian lokap dan mengenakan pelitup muka dengan kedua-dua tangannya digari dibawa ke rumah mangsa sebelum beredar pada 1.40 tengah hari ini.
Difahamkan, lelaki berusia 29 tahun itu berada di lokasi lebih 40 minit bagi membolehkan polis mendapatkan maklumat sekali gus membantu siasatan kes berkenaan.
Pasukan unit forensik polis juga berada di lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Superintendan Lee Chong Chern berkata, suspek itu ditahan polis pada 9 malam tadi susulan penemuan mayat seorang wanita berusia 40 tahun di bawah katil di kediamannya itu.
Lelaki itu dilaporkan ditahan tidak jauh dari lokasi kejadian dan soal siasat polis terhadapnya mendapati dia masuk ke rumah mangsa melalui tingkap sebelum melihat mangsa sedang tidur di atas katil lalu dalam bilik di tingkat bawah kediaman teres dua tingkat itu sebelum merogol dan meliwat wanita terbabit.
Lelaki berkenaan juga dikatakan menggeledah rumah mangsa dan mengambil telefon bimbit, wang tunai dan loket mangsa selepas mendapati wanita itu tidak bernyawa.
Anggota polis membawa suspek ke lokasi kejadian seorang wanita dirogol dan bunuh bagi membantu siasatan di Taman Seruling Emas, Sungai Bakap, Nibong Tebal.