|
London: Fernando Alonso berkata memenangi kejuaraan dunia Formula Satu (F1) buat kali ketiga masih lagi menjadi sasaran utamanya namun mengakui untuk meraihnya sangat mustahil.
Pelumba berusia 40 tahun itu yang kembali ke F1 musim ini, merasakan bahawa dia masih mampu terus berlumba untuk beberapa tahun akan datang.
"Saya masih mempunyai semangat dan cita-cita yang sama dalam perlumbaan, meraih kejuaraan kali ketiga adalah satu-satunya perkara menaikkan motivasi saya.
"Bagaimanapun, selepas anda sedar bahawa bukan semuanya berada di bawah kawalan, ada beberapa perkara yang anda tidak boleh mengatasinya.
"Jika anda tidak mampu menggapai impian, sekurang-kurangnya anda sudah mencuba dan menghampiri kejuaraan kali ketiga sebaik mungkin," katanya.
Dia tertarik untuk kembali beraksi musim ini bersama pasukan Alpine yang dahulunya dikenali sebagai Renault, berikutan peraturan baru bakal diperkenalkan musim depan.
Alonso yang akan mencecah usia 41 tahun pertengahan tahun depan namun masih bersemangat beraksi bagi beberapa musim lagi.
"Saya akan meneliti tahun demi tahun. Pertama sekali saya harus menikmati menyambung perlumbaan F1 ini dan saya merasakan masih lagi beraksi dengan pantas.
"Jika satu hari saya merasakan sudah tidak dapat bersaing, tidak merasai kemampuan jentera, tidak teruja untuk berlumba, saya akan sendiri akan mengangkat tangan dan memberi peluang kepada pelumba baru," katanya. - HMetro |
|