[size=0.8]Oleh Siti Rohana Idris - September 10, 2021 @ 6:11pm[email protected]
Kemalangan yang membabitkan tiga motosikal yang ditunggang merempuh sebuah kereta jenis Honda Civic menyebabkan dua daripada tiga penunggang maut di lokasi dalam kejadian di Wakaf Zink, Jeli di sini jam 11.11 pagi tadi.
JELI: Dua penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Wakaf Zink di sini, pagi tadi, selepas merempuh sebuah kereta yang membuat pusingan 'U'.
Dua mangsa yang menunggang motosikal itu menyertai konvoi ke tempat riadah di Kuala Krai.
Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Ahmad Arifin, berkata mangsa yang berusia 17 dan 31 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 11.11 pagi.
"Kemalangan berlaku ketika pemandu kereta dalam perjalanan dari arah Tanah Merah menghala ke arah Jeli, membuat pusingan 'U' secara mengejut dan dilanggar oleh tiga penunggang motosikal dari arah sama.
"Dua penunggang motosikal meninggal, manakala seorang lagi mangsa yang juga berusia 17 tahun cedera parah," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Ahmad berkata, pemandu kereta yang berusia 36 tahun dari Gua Musang tidak cedera, manakala dua manga yang meninggal dunia dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk proses bedah siasat.
Seorang lagi mangsa yang cedera parah turut dirujuk ke hospital sama untuk rawatan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.