|
Edited by Raline at 21-9-2021 02:01 PM
Reaksi pemain tengah Manchester United Jesse Lingard (dua dari kiri) selepas menjaringkan gol kemenangan ke atas West Ham United di Stadium London. - Foto AFP
LONDON: Michael Owen menyelar Jesse Lingard kerana tidak meraikan gol kemenangannya ketika menentang West Ham.
Bintang Manchester United berusia 28 tahun itu dimasukkan di babak kedua dan meledak gol untuk kemenangan 2-1 di Stadium London.
Lingard, yang meledak sembilan gol dalam 16 perlawanan ketika dipinjamkan ke West Ham musim lalu, tidak meraikan jaringannya walaupun diserbu oleh rakan sepasukan United.
Bekas penyerang Red Devils, Owen mengkritik sikap Lingard, mendakwa penyerang itu berada di West Ham hanya untuk 'dua minit'.
Owen juga mendakwa Lingard sepatutnya membuat hantaran jika dia tidak mahu berada dalam situasi menjaringkan gol.
Bekas penyerang Red Devils, Michael Owen.
"Sentuhan penyudah itu amat menarik. Satu-satunya perkara yang kurang ialah dia tidak meraikannya.
"Saya tidak percaya pemain tidak meraikan jaringan menentang bekas kelab mereka, dia hanya di sana dua minit.
"Jika dia tidak mahu menjaringkan gol, jika dia tidak gembira, jangan rembat, buat hantaran.
"Itu saja satu-satunya perkara yang mengecewakan, kerana yang lain-lain semuanya menakjubkan," kata Owen.
Lingard bagaimanapun memberikan alasan mengapa dia tidak meraikan jaringan berkenaan.
"Mereka membantu saya ketika dipinjamkan dan menyambut saya dengan baik, jadi memang patut saya membalas budi mereka.
"Penyokong-penyokong West Ham juga memberikan sambutan hangat terhadap saya. Saya gembira di sana, tetapi saya perlu melakukan tugas saya," kata Lingard. - AGENSI
|
|