Edited by Vellfire at 2-10-2021 05:17 PM
SENI bela diri Muay Thai yang wujud lebih 2,000 tahun lampau menerusi konflik peperangan di negara Gajah Putih kini sebati dalam diri tiga adikberadik kacukan Melayu-Amerika Syarikat ini.
Elias, Johan dan Mikail – mengabadikan diri serta usia muda dan remaja mereka untuk lincah dalam arena tempur sukan Muay Thai hingga beberapa kali melakar kemenangan kejohanan bertaraf dunia.
Sebagai abang sulung, Elias atau Elias Ghazali Zulfikar mula bergiat dalam gelanggang pada usia 15 tahun.
Kini pada usianya 19 tahun, pelajar Politeknik Kuching ini pernah menumbangkan lawan di Abu Dhabi tahun lalu, sekali gus membawa pulang pingat emas untuk Malaysia.
“Saya mula menyertai Muay Thai sejak melihat ibu dan bapa saya yang aktif dalam sukan ini,” kata atlet Sukma ini.
Pernah membawa pulang gangsa pada awal penglibatannya turun ke gelanggang tempur, Elias berkata, kedudukan ketiga dirangkulnya beberapa tahun lalu menjadi titik tolak menggenggam emas di Abu Dhabi.
Mengakui penyertaannya sejak empat tahun dimantapkan menerusi disiplin dalam setiap latihan, Elias yang bakal mewakili Malaysia ke Kejohanan Belia dan Remaja Muay Thai Dunia di Phuket Thailand pada 1 hingga 14 Disember depan menjanjikan kemenangan.
“Beraksi di Thailand merupakan cabaran yang besar buat kami, namun ia tidak mematahkan semangat saya untuk berundur sebelum mara ke gelanggang,” ujarnya yang pernah menumbangkan lawan dari negara Gajah Putih itu sebelum ini.
Selain persiapan untuk menguatkan fizikal, Elias menekankan kekuatan mental dirinya yang amat dititikberatkan oleh jurulatihnya, Addy Singpalak.
“Saya memiliki jurulatih yang merupakan pahlawan Muay Thai profesional… ini memberi kelebihan kepada kami yang berlatih di Gim Rentap Muay Thai,” jelasnya ketika ditemu bual Suara Sarawak baru-baru ini.
Dijadikan idola dan inspirasi oleh dua adiknya, Elias bangga melihat kedua-duanya memiliki kelebihan dan strategi tersendiri di gelanggang.
“Harapan saya untuk membawa pulang emas kerana ia akan menjadi semangat kepada Johan dan Mikail,” tegasnya.
Sinonim dengan namanya Johan, remaja berusia 15 tahun ini pernah bergelar johan dalam beberapa pertempuran Muay Thai antarabangsa.
Dinamakan Mohammad Johan Ghazali Zulfikar, anak kedua daripada empat adik-beradik ini turut berpengalaman menjulang nama Malaysia di persada dunia dalam sukan Muay Thai.
“Di Malaysia, kami merupakan bintang Muay Thai digeruni, namun apabila melangkah kaki ke Thailand, kami belum mampu mendapat gelaran jaguh itu,” katanya.
Baginya, perjalanan dirinya dan abang serta adiknya masih jauh untuk dikenali di peringkat antarabangsa.
Pelajar SMK ST Thomas ini mengimpikan masa depan cerah dalam sukan bela diri itu.
“Saya ingin melakar kemenangan demi kemenangan dalam kejohanan hingga saya membina nama besar dalam gelanggang antarabangsa,” katanya.
Sejak turun ke gelanggang tempur antarabangsa lima tahun ini, Johan berjaya meraih dua ingat gangsa dari Thailand, pingat perak di Turki dan pingat emas di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Pada tahun keenam penglibatannya dalam Muay Thai, Johan mengakui giat mempersiapkan diri untuk kembali ke Thailand bagi membawa pulang pingat emas untuk kategorinya.
“Sasaran emas itu pasti,” nekad anak muda ini sambil mendedahkan setakat ini tahap persiapannya 60 peratus menjelang beberapa bulan lagi untuk Disember.
Disoal mengenai cabaran kepada dirinya, Johan sambil berseloroh mendedahkan hanya sukar bangkit dari tidur seawal 5.30 pagi untuk memulakan latihan adalah saat sukar baginya.
“Kami akan bangun pada jam 5.30 pagi untuk latihan joging sejauh 21 kilometer pada setiap hari bagi meningkatkan stamina,” jelasnya.
Laluan harian bermula di gimnasium hadapan Viva City kemudian Wisma Saberkas hingga ke Plaza Merdeka dan larian kembali ke gimnasium.
Selesai larian kembali ke gimnasium pada jam 7.00 pagi sebelum memulakan latihan sehingga jam 10 pagi.
“Selepas itu, kami akan pulang ke rumah untuk mengikuti pembelajaran dalam talian dan latihan sebelah petang akan bermula jam 3.00 petang.
“Seperti latihan pagi, kami akan berlari mengikut laluan yang sama dan kembali semula ke gimnasium,” ujarnya tidak pernah mengeluh untuk menjalani latihan.
Menyifatkan sukan yang diadaptasi daripada kemahiran berperang tentera Thailand berjaya membentuk sahsiah baik dalam diri golongan generasi muda, Johan menggesa remaja seusianya yang berminat memulakan langkah masing-masing.
Sementara itu, Mohammad Mikail Ghazali Zulfikar yang mesra dipanggil Miki mengikut jejak kedua-dua abangnya walaupun pada Disember nanti pertama kali melangkah ke gelanggang berprestij tersebut.
“Saya mahu menjadi seperti abang-abang saya,” ujar anak ketiga berusia 12 tahun ini.
Lebih muda berbanding usia kedua-dua abangnya menyertai sukan itu, Miki mendedahkan kegiatannya turut disokong rakan-rakan di sekolah serta menjadi kebanggaan para guru.
“Ramai yang menyokong saya.
Oleh itu, saya tidak akan mengecewakan serta akan membawa balik kemenangan,” tegasnya yang mula menyertai Muay Thai sejak usia enam tahun.
Kehebatan tiga adik-beradik ini turut disertai seorang atlet kelahiran Texas, Jeremy Lo, 13, yang menyertai sukan itu dua tahun lalu.
Rakan baik kepada Miki ini juga pertama kali menjejakkan kaki ke gelanggang antarabangsa pada Disember di Phuket Thailand nanti.
“Tiada lain yang saya harapkan iaitu…menang emas,” kata pelajar Sekolah Antarabangsa Lodge ini penuh azam.
Berkongsi rasa gementar dan takut, Jeremy menegaskan tidak akan membenarkan perasaan negatif itu menguasai dirinya, namun akan merapikan mental dan fizikal melalui latihan daripada jurulatih, Addy yang telah 35 tahun dan mempunyai nama di peringkat profesional antarabangsa.
Memantau prestasi keempat-empat anak didiknya sejak menjalani latihan awal tahun ini, Addy Singpalak yakin masingmasing mempunyai kelebihan dan strategi untuk beraksi mengikut rentak tersendiri.
“Saya hanya membantu melatih dan memantau tahap disiplin. Saya yakin kemenangan pasti berpijak kepada mereka,” tegasnya sambil mendedahkan setiap mereka akan membawa pulang pingat dalam kategori masing-masing.
Mula membuka pintu pada Mac yang lalu, Gimnasium Rentap Muay Thai Kuching melahirkan empat jaguh mewakili Malaysia bukan perkara mustahil. Komitmen itu diluah oleh salah seorang pemilik Rentap Muay Thai Kuching, Dolphina Walter Tony sambil menzahirkan rasa bangga melihat keupayaan empat anak muda yang dilahirkan gimnasium berkenaan.
“Mereka bekerja keras membuat persiapan masing-masing serta memahami akan tanggungjawab sebagai seorang atlet Muay Thai untuk mengharumkan nama Sarawak dan Malaysia.
Malah ibu bapa mereka memberi sokongan padu menjadi pembakar semangat,” ujarnya.
Mengambil semangat pahlawan Rentap untuk menubuhkan gimnasium bersama-sama rakan kongsinya, Mohd Arafat dan Jennana, Dolphina mendedahkan selain menjulang nama Malaysia, setiap mereka turut menjadi tulang belakang pihak penaja masingmasing yang menanggung perbelanjaan dari awal hingga atlet bertanding.
Dolphina memberitahu Johan ditaja oleh Persatuan Muaythai Malaysia (PMM), Elias pula ditaja Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) dan dua atlet (Mikail dan Texas) serta Addy menyertai kejohanan dengan tajaan dan dana sendiri.
Harapan beliau, kesemua mereka berjaya membawa pulang kemenangan untuk Malaysia dan pengalaman daripada kejohanan Disember nanti akan menjadi titik tolak membuat persiapan untuk turut serta dalam kejohanan dunia yang seterusnya.
MOHAMMAD Mikail Ghazali Zulfikar menjadikan kedua-dua abangnya sebagai inspirasi untuk bergelar jaguh Muay Thai. ADDY Singpalak berasal dari Thailand dan merupakan jurulatih profesional Muay Thai. DOLPHINA (tiga dari kiri) dan Jennana (tiga dari kanan) merupakan rakan kongsi dan pemilik Rentap Muay Thai Gym Kuching.
https://suarasarawak.my/2021/10/tiga-beradik-tawan-gelanggang-antarabangsa/
|