[size=0.8][size=0.9]Zuhainy Zulkiffli
[email protected]
![](https://assets.hmetro.com.my/images/articles/bantahpsara1_1634134218.jpg)
MAHADI (dua kiri) dan Arshad (kanan) pada sidang media di Pen Mutiara, Batu Maung. FOTO Mikail Ong
Bayan Lepas: Persatuan Nelayan Pulau Pinang (Pen Mutiara) masih tetap dengan pendirian membantah projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR).
Walaupun sekumpulan nelayan menyerahkan memorandum sokongan kepada Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, baru-baru ini, persatuan berkenaan turut menyangkal menyokong projek berkenaan.
Pengerusi Pen Mutiara, Mahadi Md Rodzi berkata, pihaknya tidak menerima apa-apa usul mengenai sokongan nelayan terhadap projek itu dalam mesyuarat rasmi.
Beliau berkata, ketua unit nelayan yang dilantik secara sah mengikut perlembagaan masih menyatakan bantahan terhadap projek terbabit.
"Sehubungan itu, tidak timbul isu mengenai ada segelintir nelayan menyokong projek berkenaan kerana kami masih teguh dengan pendirian membantah (projek).
"Kira-kira 6,000 ahli persatuan masih berpegang kepada keputusan mesyuarat agung yang sebelum ini sebulat suara menyatakan bantahan sejak 2016," katanya pada sidang media Batu Maung, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Pulau Pinang Selatan dan Ketua Unit Nelayan Sungai Batu Zakaria Ismail.
Terdahulu, Lestari Alam Sekitar Pulau Pinang (Lestari) dan wakil dari Unit Nelayan Permatang Tepi Laut, Fajinah Jaafar menyerahkan senarai nama dan tandatangan 1,521 penduduk kawasan berkenaan yang menyokong projek PSR itu kepada Chow.
Daripada jumlah itu, seramai 435 daripadanya adalah golongan nelayan yang didakwa menandatangani secara rela.
Mahadi berkata, penubuhan Pen Mutiara adalah tertakluk mengikut Akta Persatuan Nelayan 1971 yang memberi mandat kepada ahli mengikut perlembagaan ditetapkan bagi menjaga kebajikan dan bantahan projek PSR.
Katanya, jika ada sebarang usul bagi menyokong projek itu, ia perlu dilakukan melalui mesyuarat agung rasmi dan usul yang datang daripada luar mesyuarat adalah tidak sah serta membelakangkan masyarakat nelayan.
"Pen Mutiara sudah mengambil tindakan tatatertib terhadap salah seorang ahli yang hadir dan terbabit dalam penyerahan memorandum sokongan itu.
"Nelayan itu sudah diberi surat tunjuk sebab pada 28 September dan dia sudah memberi surat balas pada Isnin lalu.
"Sehubungan itu, ahli yang mahu menyokong PSR dinasihatkan supaya keluar daripada persatuan ini," katanya.
Disiarkan pada: Oktober 13, 2021 @ 8:28pm