|
Tahniah Mawi...permulaan yang baik untuk tahun 2007
Mawi kekal Duta MKL 2007 - Harian Metro 1-Jan-2007
GEORGETOWN: Bintang Akademi Fantasia (AF) 3, Asmawi Ani atau Mawi bakal menandatangani perjanjian buat kali kedua sebagai Duta Menara Kuala Lumpur (MKL) bagi 2007.
Rezeki bintang kelahiran Felda Taib Andak, Kulai, Johor ini terus melimpah apabila dia terus diberi kepercayaan untuk mempromosikan MKL sempena sambutan Tahun Melawat Malaysia 2007 (TMM07).
Berita gembira itu dinyatakan sendiri Ketua Pegawai Eksekutif MKL, Datuk Zulkifli Mohamad ketika ditemui di Majlis Promosi dan Sambutan Ulang Tahun Ke-10 MKL peringkat Pulau Pinang di sini, kelmarin.
Zulkifli berkata, sebelum ini bintang kesayangan ramai itu sudah pun mewakili beberapa produk lain antaranya M Dot Mobile Sdn Bhd (M Mobile), Canon Marketing (Malaysia) Sdn Bhd, Mamee-Double Decker (M) Bhd, Edaran Otomobil Nasional Bhd (EON) dan Felda Herbal sebagai duta.
Menurutnya, Mawi melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik dan cemerlang sekaligus dianggap berjaya mencapai matlamat MKL sendiri sepanjang tahun ini.
Katanya, Mawi berjaya melaksanakan tugasnya dan pengumuman mengenai pelantikan beliau sebagai duta MKL akan diberitahu kemudian dan kini masih dalam perbincangan terakhir.
"Sepanjang tahun lalu, siri penjelajahan ke seluruh negara membabitkan beberapa negeri termasuk Alor Star, Kota Bharu, Kuala Terengganu dan Johor Bahru, berjaya menarik kedatangan ribuan pelancong.
"Daripada jumlah itu, 60 peratus pengunjung terdiri dari pelancong luar, manakala selebihnya rakyat tempatan dan setakat ini MKL sudah menerima 8.4 juta pengunjung dari dalam dan luar negara.
"Kita mensasarkan pengunjung kesembilan juta menjelang Februari depan selain pelbagai acara termasuk larian MKL, Base-Jumping dan lain-lain lagi," katanya.
Bagi Mawi sendiri, kepercayaan yang diberikan MKL amat dihargai selain dapat bekerjasama dengan baik sejak setahun lalu dan pemilihan sebagai Duta MKL buat tahun kedua membuktikan pihak berkenaan mempercayainya.
Menurutnya, bukan senang diberi kepercayaan dan rezeki yang diberikan kepada insan kerdil sepertinya.
Katanya, sepanjang berkhidmat sebagai Duta MKL banyak pengalaman dan kenangan diperolehi termasuk program kebajikan bersama orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak kurang bernasib baik.
Sementara itu, sepanjang promosi di Pulau Mutiara, pelbagai acara diadakan seperti pertandingan mewarna kanak-kanak dan persembahan di Tapak Pesta Sungai Nibong yang dihadiri lebih 10,000 pengunjung.
[ Last edited by kekekek at 1-1-2007 11:38 AM ] |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|