|
Sheikh Muszaphar bangga jadi anak Negeri Sembilan
06-07-2007 03:45:15 PM
| SEREMBAN: Walaupun dilahirkan di Petaling Jaya, calon angkasawan negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor, 36, berbangga melihat sebahagian dirinya sebagai anak Negeri Sembilan kerana dibesarkan di Rasah.
"Saya menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan St.Paul dan sangat aktif di sekolah sebagai ketua pengawas, pembahas, serta bidang kokurikulum," katanya kepada pemberita pada Program Angkasawan Bersama Pelajar Sekolah Menengah Sains Seremban.
Program itu dianjurkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, dan melibatkan dua buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Sains Seremban dan Sekolah Menengah Dato' Abdul Razak.
"Walau sejauhmana saya pergi hingga ke angkasa, saya akan kembali ke tempat asal saya, negeri yang sentiasa di hati ini," kata Dr Sheikh Muszaphar, seorang pegawai perubatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia.
Sama ada beliau atau Kapt Dr Faiz Khaleed, 27, seorang doktor gigi Angkatan Tentera Malaysia, yang turut hadir hadir pada program itu, akan dipilih menjadi angkasawan pertama negara yang akan berlepas ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISs) pada Oktober ini.
Kedua-dua sedang bercuti daripada latihan di Russia.
Ketika ditanya mengenai kontrak yang tidak membenarkan seseorang calon angkasawan itu berkahwin sepanjang program ini, Sheikh Muszaphar berkata : "Saya dan Dr Faiz, mengambil sikap positif terhadap peraturan ini agar lebih fokus memikul tanggujawab untuk menjadi angkasawan pertama Malaysia". BERNAMA
|
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|