|
Fiesta Negeri FM Di Seremban 28 Feb Dan 1 Mac
SEREMBAN, 24 Feb (Bernama) -- Jawatankuasa Penyelaras Kementerian Penerangan (JKPKP) peringkat Negeri Sembilan akan menganjurkan 'Fiesta Negeri FM' di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi di sini pada 28 Feb dan 1 Mac ini.
Pengarah Penerangan Negeri Ahmad Iqbal Zainal Azim berkata program itu adalah satu daripada usaha JKPKP peringkat Negeri Sembilan yang terdiri daripada Jabatan Penerangan, Jabatan Penyiaran, Jabatan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dan Bernama, 'turun padang' dan mendekati masyarakat.
"Program berkonsep hari keluarga berbentuk karnival ini akan dimeriahkan dengan pelbagai acara termasuk pameran daripada agensi kerajaan, gerai jualan, pertandingan sukan, karaoke, pertandingan mewarna kanak-kanak, mencari harta karun, sukaneka rakyat dan hiburan," katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata menjadi harapan JKPKP peringkat Negeri Sembilan serta jabatan lain yang terlibat dengan program itu supaya pengisian yang telah diatur dapat memberi kefahaman kepada orang ramai menerusi aktiviti yang dijalankan.
Program itu dijangka dilancarkan Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan pada Jumaat ini. |
|