View: 2073|Reply: 0
|
Beri nasihat beramal, tak berganjak selagi tidak menyumbang
[Copy link]
|
|
Beri nasihat beramal, tak berganjak selagi tidak menyumbang
SENAWANG: Alasan derma untuk akhirat menjadi senjata peminta derma, yang kini berleluasa mengutip derma daripada pemandu yang berhenti meletakkan kereta di beberapa kawasan komersial sekitar kawasan ini.
Pengutip derma ini akan menerpa ke arah kenderaan yang berhenti di situ dan tidak akan berganjak selagi pemandu tidak memberi sumbangan.
Tinjauan Berita Harian di Taman Komersial Senawang dan Pusat Komersial Cempaka di sini mendapati antara dua hingga tiga peminta derma berada kaki lima premis perniagaan menantikan kereta berhenti di tempat letak kenderaan.
Setiap kali kereta tiba, mereka akan menghampiri kenderaan dan mengetuk tingkap, meminta derma dengan menunjukkan satu fail, yang kononnya mengandungi surat kebenaran daripada pihak tertentu (selalunya kementerian) untuk mengutip derma.
Apabila tidak dilayan, mereka yang berpakaian baju Melayu dan berkopiah terus menunggu di situ selama kira-kira lima minit sambil memberi nasihat seperti derma itu adalah untuk akhirat, tetapi tidak menyatakan tujuan derma dikutip.
Kebanyakan pemandu kereta yang ditemui memberitahu mereka terpaksa menghulurkan derma kerana tidak mahu diganggu. Ini menyebabkan mereka meminta pihak berkuasa mengambil tindakan kerana selain mengganggu, kesahihan kutipan derma turut diragui.
Kakitangan swasta, Norozziana Rosli, 25, berkata dia terkejut didatangi seorang lelaki berbaju Melayu lengkap berkopiah sebaik saja memberhentikan kereta.
“Seorang lelaki mengetuk tingkap sambil dengan pantas menunjukkan surat kebenaran meminta derma dan menasihati saya supaya menderma untuk akhirat.
“Pada mulanya, saya tidak mahu memberi wang tetapi lelaki itu terus berdiri di tepi kereta saya dan tiada tanda mahu beredar. Saya khuatir keselamatan diri lalu memberinya wang,” katanya.
Katanya, tindakan agresif peminta derma memberi tekanan kepada pemandu wanita, terutama apabila tiba-tiba muncul di tepi kereta.
“Sebelum ini, mereka meminta derma berhampiran bank atau kedai makan. Ini adalah kali pertama saya berdepan situasi kurang menyenangkan,” katanya.
Pelajar, Mohammad Anuar Abdullah, 17, pula menyedari kehadiran peminta derma terbabit sejak beberapa bulan lalu dan kebanyakan mereka beroperasi pada hujung minggu.
Katanya, tindakan mereka untuk mendapat derma semakin agresif kerana tidak lagi menunggu di suatu tempat malah seolah-olah memaksa orang ramai menghulurkan derma.
"Perbuatan mereka memberitahu orang ramai supaya menderma dengan alasan untuk kebaikan di akhirat tidak sepatutnya dilakukan kerana seolah-olah jika tidak menderma, orang berkenaan tidak mahu mencari kebaikan akhirat," katanya.
Berdasarkan loghat, katanya, peminta derma terbabit bukan berasal dari negeri ini dan mungkin datang dari utara Semenanjung Malaysia.
Beliau meminta pihak berkuasa mengambil tindakan kerana bimbang ada pihak mengambil kesempatan mengaut keuntungan mudah serta memberikan imej buruk terhadap Islam.
Berita Harian |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|