Besut: "Sekarang macam artis terkenal, pergi ke mana sahaja akan menjadi tumpuan orang dan diajak bergambar," kata jutawan hartanah Mohamad Azlan Abdullah
@ Ali atau lebih dikenali sebagai Mohamad Azlan Al Amin.
Azlan, 34, dari Kampung Tok Raja, Jertih, berkata, sejak kisahnya dilaporkan di Harian Metro dan tular di media sosial popularitinya semakin meningkat dalam kalangan masyarakat.
"Semakin ramai yang mengenali diri saya, malah tidak segan datang berjumpa saya di kedai makan untuk bergambar.
"Selain merakam gambar sebahagian mereka meminta nasihat perniagaan dan motivasi daripada saya.
"Berasa seronok apabila masyarakat menerima saya dari sudut positif dan menjadikan kejayaan saya dalam bidang hartanah sebagai motivasi untuk berjaya," katanya ditemui di rumahnya, hari ini.
Katanya, kisah kejayaannya di dalam bidang hartanah sebelum ini pernah tular di media sosial, namun tidak memberi kesan besar seperti sekarang.
"Selepas dilaporkan di Harian Metro, ramai yang hubungi saya untuk bertanyakan nasihat dan pandangan mengenai perniagaan.
"Terkini, saya ditawarkan sebagai model untuk sesi fotografi oleh jurugambar berpengalaman yang pernah memenangi beberapa anugerah fotografi di peringkat kebangsaan dan antara bangsa, iaitu Dallah Deen.
"Mendapat tawaran daripada jurugambar terkenal sebagai model untuk fotografi adalah suatu pengalaman baru yang besar serta bernilai untuk saya maklumlah saya bukan berkecimpung dalam bidang berkenaan," katanya.
Menurutnya, dia mudah dikenali ramai kerana imejnya yang berjanggut.
"Apabila penampilan saya berbeza daripada kebanyakan orang semestinya kehadiran saya di suatu tempat mudah disedari sekali gus mendorong mereka mendekati saya untuk bertanya khabar dan bergambar, " katanya.
Harian Metro sebelum ini melaporkan kisah kejayaan anak muda berusia 34 tahun dari Kampung Tok Raja, Besut itu yang bangkit daripada keluarga miskin tegar berubah kepada seorang jutawan hartanah yang disegani.
Videonya menaiki helikopter dan mengambil bapanya di rumah untuk bersarapan di kedai kopi di Kampung Kuala Besut menjadi tular di media sosial.
Azlan Al Amin tidak kekok menjalani kehidupan biasa selain menguruskan ternakan lembu biarpun kini memiliki aset bernilai jutaan ringgit.