[size=0.8]Oleh Siti Rohana Idris - Oktober 24, 2021 @ 4:05pm[email protected]
Orang ramai tertarik dengan kecantikan bunga keladi bunting yang mekar dalam sebuah tali air di Kampung Kok Bedollah, Tumpat. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
TUMPAT: Bunga keladi bunting yang memenuhi tali air di Kampung Kok Bedollah di sini, menarik perhatian kerana kelihatan seperti hamparan lavender.
Panorama menarik itu menjadi tarikan penduduk dan pengunjung yang tidak melepaskan peluang bergambar kenangan.
Bahkan, seorang penduduk, Khalijah Senik, 63, turut mengambil peluang memetik bunga keladi itu untuk dibawa pulang ke rumah.
Katanya, setiap kali ke kebun ubi kayunya yang tidak jauh dari tali air itu, dia akan memetik bunga keladi berkenaan untuk anaknya yang memang sukakan bunga segar.
"Kewujudan pokok keladi bunting ini bermusim tapi memang kerap. Selalunya apabila ia penuh seperti ini, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan menjalankan kerja membuangnya bagi mengelak ia menghalang laluan air.
"Juga supaya proses pengairan air ke sawah lancar tapi tumbuhan ini walaupun sudah dibuang, ia mudah membiak," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Seorang penduduk kampung, Khalijah Senik, 63, menunjukkan bunga keladi bunting yang dipetik untuk dibawa pulang sebagai hiasan setelah mengeluarkan bunga berwarna ungu ketika tinjauan di Kampung Kok Bedollah hari ini. Bunga keladi bunting atau nama saintifiknya 'eichhornia crassipes' adalah tumbuhan akuatik yang berasal daripada Amerika Selatan. Ia sejenis tumbuhan yang terapung dan dapat membiak dengan cepat dalam tempoh 12 hari. - Foto NSTP/ Nik Abdullah Nik Omar
Sidek Ali Hassin, 34, dari Kampung Tujoh pula berkongsi gambar tumbuhan itu di Facebook dan ramai kenalannya teruja melihat pemandangan berkenaan.
"Saya suka bersiar dan ternampak tali air ini yang penuh keladi bunting. Ia sangat cantik dan keindahannya saya kongsi di media sosial menerusi beberapa keping gambar.
"Rakan juga mengakui keindahan pemandangan itu," katanya.