KUCHING: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki warganegara India yang dilaporkan tergelincir dan terjatuh dari kapal muatan pasir di Sungai Senang, Lingga di Sri Aman ditamatkan hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, SAR Rishi Vandhan Reddy, 20, yang memasuki hari keenam, ditamatkan jam 6 petang selepas tiada petunjuk baharu dijumpai.
"Komander Operasi melaporkan sehingga jam 6 petang, tiada sebarang petunjuk untuk penemuan mangsa tersebut.
"Pasukan SAR dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah berbincang dan memutuskan untuk menamatkan SAR," katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas bomba, SAR akan diaktifkan semula jika ada petunjuk baharu untuk penemuan mangsa.
Sebelum ini, bomba menerima panggilan sekitar jam 7.45 pagi pada 18 Oktober lalu berhubung insiden tersebut.
Menurut keterangan saksi yang berada di atas kapal tersebut, mangsa dikatakan tergelincir dan terjatuh ke sungai sekitar jam 6.49 pagi.
utusanborneo.com.my/2021/10/24
|