Machang: Kedaifan hidup memaksa seorang lelaki warga emas menjadikan dapur usang yang serba kekurangan sebagai tempat berteduh sejak enam tahun lalu.
Rosli Daud, 63, terpaksa mendiami dapur usang dipenuhi dengan sampah sarap serta sempit itu selepas rumah pusaka didiaminya sebelum ini runtuh disebabkan terlalu uzur.
Sepupunya, Rokiah Bardan, 59, berkata sebagai saudara terdekat, dia mengambil tanggungjawab untuk menjaga serta memberi makan dan minum kepada Rosli yang mempunyai masalah kesihatan.
Menurutnya, Rosli memiliki empat adik beradik, namun dua daripadanya sudah meninggal dunia dan adik beradik lain tinggal di Kota Bharu.
"Bagaimanapun, Rosli mempunyai kekangan dan tidak mempunyai kad bank menyebabkan tidak mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) seperti sepatutnya.
"Pada masa sama, Rosli sering terlepas untuk mendapatkan bantuan disalurkan kerajaan dan sebelum ini kami sudah memujuknya pergi ke bank, namun dia mempunyai trauma untuk menaiki kenderaan, malah dia pula mengajak kami berjalan kaki.
"Justeru itu, saya memohon kepada pihak berkaitan supaya dapat membantu menyelesaikan masalah ini dan dengan bantuan akan diperoleh itu sekurang-kurangnya boleh digunakan untuk meneruskan kelangsungan hidup," katanya ketika ditemui di Kampung Alor Melaka, Pulai Chondong, di sini, hari ini.
Rokiah berkata, beberapa hari lalu, penduduk kampung mengadakan tabung bantuan untuk menyiapkan kediaman Rosli yang terbengkalai sejak empat tahun lalu disebabkan kekangan kewangan.
Katanya, ramai individu prihatin termasuk pemimpin setempat menghulurkan sumbangan wang ringgit, malah ada yang menghulurkan bantuan dalam bentuk barang binaan.
"Setakat ini, rumah dibina itu terletak bersebelahan dengan tapak asal rumah pusaka sudah siap 30 peratus dan masih memerlukan kos sebanyak RM20,000 untuk menyiapkannya.
"Sebaik rumah ini siap, adik angkat Rosli yang tinggal di Kota Bharu akan pulang ke kampung untuk mengambil alih tanggungjawab menjaganya," katanya.