|
![](https://www.iloveborneo.my/wp-content/uploads/2021/10/BeFunky-collage-2021-10-26T164914.836-1140x599.jpg)
Gadis Termuda Terbang Solo Mengelilingi Dunia Pilih Kota Kinabalu Sebagai Lokasi Persinggahan
Gadis berusia 19 tahun dari Belgium ini berhasrat untuk memecahkan rekod penerbangan solo dunia.
Gadis Termuda Terbang Solo Mengelilingi Dunia Pilih Kota Kinabalu Sebagai Lokasi Persinggahan. Sebaik sahaja dunia sudah mula dalam usaha untuk pulih daripada pandemik COVID-19, seorang gadis yang berasal dari Belgium ini sudah mula mengorak langkah untuk mencipta sesuatu yang mengagumkan.
Apatah lagi pada usia beliau baru mencecah 19 tahun!
Zara Rutherford, seorang gadis kacukan Belgium-British, kini sedang dalam misi penting, FLY ZOLO, iaitu untuk menjadi wanita termuda yang terbang solo mengelilingi dunia. Bahkan, beliau juga mempunyai impian untuk memecahkan rekod penerbangan solo dunia iaitu sejauh 50,000 km dalam masa 3 bulan.
Ekuator Asia Tenggara kawasan yang ‘licik’, Kota Kinabalu kawasan yang selamat untuk mendarat
Menerusi laporan akhbar Daily Express, Zara bakal mendarat di Kota Kinabalu, Sabah pada 2 November ini dalam misi menamatkan jelajah epik solonya. Beliau memilih ibu negeri Sabah ini sebagai lokasi persinggahan kerana bandar tersebut jauh daripada ribut taufan yang sering melanda kawasan ekuator Asia Tenggara seperti di Filipina.
Zara menyifatkan bahawa kawasan ini Asia Tenggara merupakan kawasan ekuator yang ‘licik’ kerana kehadiran ribut taufan.
Oleh yang demikian, pemilihan Kota Kinabalu dirasakan sebagai lokasi yang tepat untuk Zara melakukan pendaratan. Sesuai dengan gelarannya ‘Negeri Di Bawah Bayu’, Kota Kinabalu terletak di batu 412.93 (664.55 km) di utara ekuator, jauh daripada kawasan paling buruk ribut taufan iaitu di Filipina.
Beliau dilaporkan akan singgah sehari dua di lokasi pendaratan selain berjumpa dengan kumpulan remaja dan sekolah di negara-negara yang berbeza.
Berasal dari keluarga juruterbang
Pasti ramai yang tertanya-tanya bagaimana Zara boleh terbang dengan sah, apatah lagi mengelilingi dunia. Untuk pengetahuan anda, gadis ini sebenarnya berasal daripada latar belakang keluarga juruterbang. Profesion tersebut merupakan punca rezeki kedua ibu bapanya. Maka, tidak hairanlah jika menerbangkan sebuah pesawat bukan sesuatu yang asing buat beliau.
Disebabkan pendedahan awal dalam dunia penerbangan, Zara telah bermula di usia yang sangat muda dan kini telah memiliki beratus-ratus jam penerbangan (flying hours) di benua Eropah dan Afrika.
Beliau juga yang baru sahaja menamatkan persekolahan tinggi pada tahun ini menanam impian yang besar iaitu untuk melakukan penerbangan maraton pada kelajuan 300 km/jam merentasi 52 negara.
Untuk mempersiapkan diri menghadapi misi ini, Zara telah berjaya melengkapkan 80 jam flying hours untuk memperoleh lesen juruterbang microlight Perancis. Selain itu, beliau juga merupakan pemegang lesen juruterbang Amerika FAA, lesen juruterbang persendirian UK dan lesen juruterbang microlight Slovakia.
Zara sanggup menjual keretanya dan mencari penaja memandangkan misi ini dibiayai sepenuhnya oleh beliau.
Memulakan misi bersejarah dari Belgium pada Ogos lalu
Zara memulakan penerbangan epiknya dari Kortrijk-Wevelgem International Airport, Belgium pada 18 Ogos 2021 dan terus menuju ke benua barat seperti UK, Iceland Brussels, Iceland, Greenland, Kanada, Amerika Syarikat, Carribean, Panama, Costa Rica, Mexico, Colombia.
Pengembaraan ini akan diteruskan sehingga ke utara seperti Alaska merentasi Rusia, Korea Selatan, Taiwan, Filipina, Sabah, Indonesia, Singapura, Myanmar, Bangladesh, India, Timur Tengah dan berakhir di Belgium semula pada Disember 2021 kelak.
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|