KEMAMAN: Hanya Tuhan yang tahu keperitan hidup terpaksa dilalui warga emas, Rosanani Salleh apabila empat daripada lapan anaknya lumpuh seluruh badan akibat penyakit saraf.
Dengan kudrat tidak seberapa, ibu tunggal berusia 62 tahun itu cekal menguruskan anak keduanya, Mohd Amerizam Razali, 42; anak kelima, Mohd Marsudi, 36, dan anak keenam, Mohd Aismuddin, 33, yang memerlukan penjagaan rapi.
Anak sulungnya Rozanariah, 43, yang turut menghidap penyakit sama, tinggal berasingan memandangkan beliau telah berkahwin dan dijaga suami serta tujuh anak berumur lima hingga 20 tahun.
Rosanani yang menjual lemang, berkata dia tidak menyangka ditimpa nasib sedemikian memandangkan keempat-empat anaknya itu secara tiba-tiba diserang penyakit saraf ketika masing-masing sudah berusia antara 20-an hingga 30-an.
"Sebelum itu mereka normal dan menjalani kehidupan seperti biasa, masing-masing telah bekerja namun tiba-tiba sakit. Tiada simptom yang jelas, malah ada daripada mereka tiba-tiba bangun tidur, tidak boleh berjalan dan lama-kelamaan lumpuh seluruh badan," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Teluk Kalung, di sini.
Episod duka keluarga Rosanani bermula apabila suaminya, Razali Othman yang meninggal dunia pada 2009 turut menghidap penyakit saraf semasa berusia 20-an.
Rosanani berkata dengan pendapatan menjual lemang hanya sekitar RM1,000 sebulan, dia agak tertekan kerana pengurusan dan pengubatan anak-anaknya yang kurang upaya itu memerlukan belanja yang tinggi.
"Mereka semua dapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 seorang, namun tidak cukup memandangkan kos membeli lampin pakai buang dan ubat-ubatan sahaja melebihi RM1,000.
"Saya pun tidak dapat jual lemang dengan lebih banyak kerana hanya sekitar jam 11 pagi baru boleh ke gerai untuk persiapan membakar lemang dan berniaga. Pada sebelah pagi, perlu uruskan anak-anak terlebih dahulu," katanya sambil memberitahu, pergerakan anak-anaknya itu bergantung sepenuhnya kepada penggunaan kerusi roda.
Malah, katanya empat anaknya yang lain hanya bekerja biasa dengan pendapatan tidak seberapa dan tidak dapat banyak membantunya.
Rosanani berkata, walaupun pakar perubatan di hospital memberitahu anak-anaknya itu tiada harapan untuk sembuh, dia sentiasa berdoa semoga satu hari nanti mereka dapat berjalan dan menguruskan diri sendiri.
"Siang malam saya berdoa semoga sekurang-kurangnya mereka boleh berjalan. Saya sangat risau kalau saya sudah tiada nanti, siapa akan menjaga mereka," katanya.
Sambil menahan air mata, wanita tabah itu berkata, dia sudah biasa 'memekakkan' telinga menghadapi pelbagai tohmahan masyarakat sekeliling mengenai nasib keluarganya itu. - BERNAMA