Nibong Tebal: Seorang pesara guru di Sungai Baong, di sini, tidak menang tangan menerima tempahan untuk menghasilkan replika feri ikonik Pulau Pinang, sejak perkhidmatan pengangkutan itu ditamatkan untuk kereta dan pejalan kaki, akhir tahun lalu.
Anuar Shaari, 59, tidak menyangka dia mendapat tempahan replika feri di luar jangkaannya walaupun ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Menurutnya, ia bermula selepas ramai ingin memiliki replika feri ikonik itu sebagai kenangan untuk ditunjukkan kepada anak cucu selepas sebahagian perkhidmatan pengangkutan yang menjadi simbol Pulau Pinang ditamatkan.
"Pada mulanya, saya fikir selepas feri ikonik ini tidak beroperasi, susahlah saya hendak cari makan sebab orang akan lupa dan secara tidak langsung menyebabkan tempahan berkurangan.
"Sebaliknya, lain pula sangkaan saya apabila ramai bertanyakan untuk membuat tempahan kerana mahu dijadikan kenangan selepas ketiadaan feri untuk ditunjukkan kepada anak cucu dan generasi akan datang.
"Ia membuatkan saya tidak menang tangan menerima tempahan, namun mengambil pesanan mengikut kemampuan memandangkan saya mahu menghasilkan hasil kerja baik, sekali gus memberi kepuasan kepada pelanggan," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.
Bapa kepada empat anak itu berkata, dia berkecimpung dalam pembuatan feri ikonik itu sejak dua tahun lalu dan mempunyai hobi memasang permainan miniatur sejak kecil sehingga mendapat idea untuk menghasilkan replika feri pada 2019.
Menurutnya, melalui rujukan Internet dan rakan industri kraftangan, dia dapat terjemahkan hobi kepada penghasilan replika feri yang kemudian memuatnaik dalam laman sosial Facebooknya hanya secara suka-suka.
"Namun, lama-kelamaan orang bertanyakan soal harga dan sebagainya untuk memiliki replika feri itu menyebabkan saya terus berkecimpung dalam penghasilan replika itu.
"Saya boleh menghasilkan pelbagai lagi replika pengangkutan lain, namun feri menjadi keutamaan kerana mendapat permintaan tinggi termasuk pelanggan dari Indonesia dan ia dijual RM240 seunit," katanya.