Pasir Mas: Seorang petani kerugian RM30,000 selepas sembilan lembu miliknya disyaki dicuri dalam kejadian di Kampung Tendong, di sini, hari ini.
Kejadian pada 3.30 pagi itu disedari penduduk kampung yang melihat sebuah lori dan sebuah pikap Toyota Hilux keluar dari lokasi berkenaan pada waktu itu.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, pada 9.30 pagi tadi, ketika mangsa berusia 62 tahun itu mahu melihat haiwan ternakan miliknya, dia mendapati lembu ditambat di kawasan padang di hadapan rumahnya hilang.
Beliau berkata, padang itu terletak kira-kira 300 meter dari rumah mangsa dan lelaki itu memaklumkan dia menambat lembu pada 7 malam tadi.
"Mangsa mendapati semua tali digunakan untuk menambat lembu dipotong orang yang tidak dikenali.
"Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan polis hari ini kerana mengesyaki sembilan lembu termasuk tujuh lembu betina miliknya bernilai RM30,000 dicuri.
"Hasil siasatan awal, mangsa memberitahu orang kampung sekitar itu melihat sebuah lori dan sebuah Toyota Hilux keluar dari kawasan jalan berkenaan pada 3.30 pagi, namun nombor pendaftaran tidak dapat dipastikan," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, tiada pagar keselamatan dan tiada kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di tempat kejadian.
Menurutnya, polis kini sedang memburu suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.