Sepuluh individu termasuk warga emas yang berkaraoke di sebuah bangsal ditahan polis di Kampung Pasir Parit, Tok Uban, Pasir Mas, malam tadi. - Foto hiasan
PASIR MAS: Sepuluh individu termasuk warga emas yang berkaraoke di sebuah bangsal ditahan polis di Kampung Pasir Parit, Tok Uban, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata tangkapan membabitkan lima wanita dan lima lelaki berusia antara 31 hingga 66 tahun selain seorang lelaki berusia 63 tahun yang mengaku sebagai penganjur.
Tiga daripada suspek wanita masing-masing berusia 39 hingga 46 tahun didapati positif dadah jenis methamphetamine melalui ujian saringan air kencing selain mempunyai beberapa rekod jenayah lampau membabitkan dadah.
"Hasil soal siasat terhadap penganjur mendapati aktiviti hiburan itu dijalankan sejak lebih setahun lalu sebanyak tiga kali seminggu bermula jam 9 malam sehingga 2 pagi tanpa permit atau lesen sah.
"Penganjur juga mengakui tidak mengambil sebarang bayaran untuk berkaraoke kecuali untuk penyediaan makanan dan minuman selain membukanya untuk kenalan saja.
"Semua 10 suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas bagi siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998.
Dalam perkembangan lain, Mohd Nasaruddin berkata, seorang lelaki berusia 49 tahun ditahan bersama heroin dan pil kuda bernilai RM2,720 di Kampung Buluh Melintang, Kangkong, di sini, semalam.
"Suspek mengaku semua dadah berkenaan adalah miliknya yang mana bekalan diperoleh daripada seorang individu digelar 'Apek' berasal daripada daerah sama," katanya.