GAMBAR hiasan
Kuantan: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang dimaklumkan bahawa 13 gajah liar ditangkap sehingga Oktober tahun ini, dengan 11 daripadanya ditemukan di sekitar Jerantut manakala selebihnya di Lipis dan Bentong.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Pahang Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak berkata pembinaan Sistem Pemasangan Pagar Elektrik Gajah (SPEG) adalah rancangan jangka panjang bagi mengatasi masalah pencerobohan gajah liar seperti dilakukan di Kampung Som, Jerantut sepanjang 18 kilometer (km), Kampung Sementeh, Temerloh (7.3 km) dan Kampung Asli Mentelong, Rompin (2 km).
"Ia membabitkan kos pembinaan keseluruhan sebanyak RM1.28 juta dengan kos penyelenggaraan RM158,789 setahun.
"Kerajaan negeri sedang berusaha mendapatkan kolar satelit gajah sebagai kaedah sistem pengesanan awal supaya tindakan menghalau dapat dilakukan sebelum haiwan itu memasuki kawasan pertanian penduduk," katanya.
Mohd Soffi menjawab soalan Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin (PAS-Tahan) yang ingin tahu perancangan kerajaan negeri untuk menangani konflik gajah dan manusia.
Bagi mengelakkan masalah itu, Mohd Soffi berkata rancangan pembangunan projek pertanian baharu khususnya membabitkan tanah milik kerajaan juga akan mengelak kawasan berpotensi sebagai destinasi rayau gerombolan gajah atau kawasan dikenal pasti mempunyai mineral jilatan.
"Pandangan dan ulasan rasmi daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) perlu diberi keutamaan pada peringkat awal perancangan projek manakala bagi tanah milik persendirian atau individu, infrastrutur bersesuaian dan penyediaan prasarana adalah berdasarkan nasihat kepakaran PERHILITAN," katanya.
Mohd Soffi berkata tabung bencana khusus negeri juga akan diwujudkan bagi membantu petani yang megalami kerugian akibat serangan haiwan bukan hanya disebabkan oleh gajah, tetapi haiwan lain seperti kera dan khinzir.
Disiarkan pada: Disember 10, 2021 @ 1:09pm
|