![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20211214/7b7e0285-168a-4491-9679-02ef6e985a78.jpeg)
RAMPAS: Syabu yang dirampas semasa penahanan suspek.
BEAUFORT: Seorang lelaki warga tempatan yang mula menjalankan kegiatan pengedaran dadah selama beberapa bulan sebelum ini ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Skim Limbawang di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata suspek berumur 36 tahun ditahan dalam operasi yang dijalankan kira-kira jam 10.30 pagi.
“Sebaik ditahan, pasukan polis menjalankan siasatan dan suspek mengakui memiliki dadah jenis syabu yang diletakkan di dalam kenderaan jenis sedan milik suspek sendiri.
“Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan itu kemudiannya menemukan dua paket plastik lutsinar sederhana besar.
“Kedua-dua plastik itu mengandungi 24 paket plastik berisi serbuk dan ketulan hablur jernih dipercayai dadah jenis syabu seberat 6.69 gram,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Menurutnya hasil soal siasat mendapati suspek mengakui memperoleh bekalan dadah terbabit dari salah seorang pengedar dadah yang dikenali sebagai ‘Gondrong’ di Kinarut.
“Suspek turut mengaku terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah sejak pertengahan tahun ini,” katanya sambil menambah suspek turut terlibat dalam aktiviti penagihan dadah selepas ujian urine menunjukkan keputusan positif methapetamine dan amphetamine.
Katanya suspek kini ditahan reman untuk disiasat mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
utusanborneo.com.my/2021/12/14
|