GENEVA: Virus COVID-19 varian Omicron lebih mudah menular berbanding varian Delta dan ia mengurangkan keberkesanan vaksin namun hanya mendatangkan gejala ringan, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kelmarin.
Varian Delta, yang pertama kali dikenal pasti di India awal tahun ini, merupakan punca kebanyakan jangkitan COVID-19 di dunia.
Namun penemuan Omicron di Afrika Selatan yang mempunyai lebih banyak mutasi pada bulan lalu mengakibatkan negara-negara di seluruh dunia untuk mengenakan larangan perjalanan ke atas negara-negara selatan Afrika bagi membendung penyebarannya.
WHO berkata, setakat 9 Disember Omicron telah merebak ke 63 negara, dengan penularan yang lebih pantas direkodkan di Afrika Selatan dan Britain.
Tetapi mereka menekankan bahawa disebabkan kekurangan data, belum dapat ditentukan sama ada kadar penularan Omicron dipengaruhi oleh ketahanan terhadap tindak balas imun, kebolehjangkitan yang lebih tinggi atau gabungan kedua-duanya.
Bukti awal menunjukkan Omicron mengakibatkan pengurangan keberkesanan vaksin terhadap jangkitan dan penularan, kata WHO.
"Berdasarkan data semasa, kemungkinan Omicron akan merebak lebih pantas berbanding varian Delta," tambahnya.
Jangkitan Omicron setakat ini hanya menyebabkan sakit ringan atau kes asimptomatik, namun WHO mengatakan data kini tidak mencukupi untuk menentukan tahap keparahan klinikal varian.
Afrika Selatan melaporkan Omicron kepada WHO pada 24 November.
Pengeluar vaksin Pfizer / BioNTech minggu lepas berkata tiga dos vaksin mereka masih berkesan terhadap Omicron.
Negara-negara yang mempunyai bekalan vaksin yang mencukupi seperti Britain dan Perancis telah menggalakkan penduduk mereka untuk menerima suntikan penggalak ketiga untuk melawan Omicron.
Britain kelmarin mengumumkan langkah-langkah tambahan untuk menghentikan penularan varian tersebut termasuk dos ketiga vaksin COVID-19 untuk golongan berusia lebih 30 tahun. – AFP
utusanborneo.com.my/2021/12/14
|