![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20211216/twu-ub161221-hs-syabup1.jpg)
RAMPASAN: Syabu dan barang lain yang berjaya dirampas dalam kejadian tersebut.
LAHAD DATU: Pasukan Gerakan Am (PGA) tahan tiga lelaki warga asing bersama lebih 50 gram dadah jenis syabu di Jalan Lahad Datu-Tungku, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, pasukan keselamatan yang menjalankan tugas mengesan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan di lokasi berkenaan.
Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata anggotanya bertindak menahan dan memeriksa kenderaan tersebut.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat tiga lelaki warga asing berumur 25 hingga 46 tahun di dalam kenderaan tersebut.
“Pemeriksaan lanjut berjaya menemukan 10 paket plastik berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 59.03 gram di dalam beg galas salah seorang suspek.
“Turut dirampas sebuah alat penimbang digital, telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM1,150,” katanya dalam kenyataan medianya, di sini hari ini Menurutnya, semua suspek dan barang rampasan termasuk kenderaan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya.
“Nilai rampasan dianggarkan bernilai RM20,153 dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
utusanborneo.com.my/2021/12/16
|