|
TUMPAT: Selain putu halba, satu lagi makanan tradisional yang laris di negeri ini menjelang musim tengkujuh adalah ubi kayu parut atau lebih dikenali sebagai ubi tonyoh.
Ubi kayu isi kuning yang diparut sebelum dikukus hampir sejam dan dinikmati bersama gula serta kelapa muda parut sangat enak dimakan terutama ketika masih panas.
Pembuatnya, Nor Harlizam Mamat, 37, berkata setiap hari, dia memarut antara 20 hingga 50 kilogram (kg) ubi kayu.
"Sudah empat tahun saya menjual menu ini yang hanya ada pada musim tengkujuh," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bunut Sarang Burung, di sini semalam.
Nor Harlizam berkata, dia memulakan jualan ubi kayu parut itu sejak awal November lalu dibantu suami, Wan Zahari Wan Othman, 53, bersama adik dan anaknya.
Katanya, sebelum ini dia mengusahakan jualan itu di kedai makan miliknya, namun sudah lebih setahun premis itu tidak dapat dibuka kerana COVID-19 yang menyebabkannya hanya beroperasi dari rumah.
"Harga masih sama seperti empat tahun lalu iaitu RM3 seberkas. Saya turut menerima tempahan untuk kenduri, selain ada yang menempah menu ini untuk disedekahkan kepada asnaf.
"Selain pelanggan sendiri membeli di rumah, kami juga membuat penghantaran sehingga Kota Bharu dan Pasir Mas," katanya.
Nor Harlizam mengukus ubi kayu selama sejam untuk menjadikan ubi tonyoh lebih empuk, di rumahnya di Kampung Bunut Sarang Burung, Tumpat. Foto/NSTP Siti Rohana Idris
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|