
SARATOK: Ketangkasan penduduk memadam kebakaran di sebuah bilik rumah panjang Dennis Nyalambai menggunakan enam unit alat pemadam api jenis debu kering, petang tadi berjaya mengelakkan insiden yang lebih buruk.
Ketua Bomba dan Penyelamat Saratok Muhammad Shukur Jamaludin mengesahkan pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar 5.04 petang menyatakan ada kebakaran di rumah panjang Dennis Nyalambai.
“Bagaimanapun sebaik tiba kira-kira 12 minit kemudian, kebakaran bilik tidur di tingkat atas (rumah nombor tiga) telah berjaya dipadam sepenuhnya oleh penduduk rumah panjang menggunakan enam unit alat pemadam api,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya tindakan pantas dan cekap penduduk terbabit patut dipuji kerana berjaya menyelamatkan rumah panjang daripada musnah sepenuhnya. Shukur menambah, insiden turut menyebabkan seorang penduduk melecur pada tapak kaki dan telah diberikan rawatan oleh unit EMRS.
by suaraswk
January 11, 2022
|