
PENGANJUR: Irwan (dua kanan) dan Ihsanuddin (tengah) bersama dengan ahli jawatankuasa Festival Tahun Baharu Cina 2022.
KOTA KINABALU: KK Legasi akan menganjurkan Festival Tahun Baharu Cina 2022 yang menampilkan 'Sabah Foldie Owners' iaitu kelab basikal lipat sebagai penganjur bersama serta disokong oleh pusat membeli-belah ITCC Penampang.
Acara berkenaan akan diadakan bermula 28 hingga 30 Januari depan di ITCC yang menggabungkan vendor tempatan dari seluruh Sabah.
Pelbagai produk ditawarkan bukan sahaja sebagai persiapan Tahun Baharu Cina tetapi juga sebagai inisiatif membantu menggalakkan jualan peniaga yang terkesan teruk sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pemilik KK Legasi Irwan Iswandy berkata, selepas kejayaan penganjuran Festival Krismas KK bulan lepas, pihaknya menerima permintaan yang tinggi untuk meneruskan aktiviti sempena Tahun Baharu Cina.
"Sambutan Tahun Baharu Cina adalah sambutan bermakna bagi semua lapisan mesyarakat di Sabah kerana kita lahir daripada masyarakat majmuk.
"Tanpa mengira latar belakang dan kepercayaan, kita menyambutnya bersama demi semangat toleransi dan perpaduan.
"Kepada vendor pula, ini adalah masanya bagi mereka untuk menambah pendapatan, terutamanya ketika mereka terkesan teruk dengan keadaan semasa pandemik," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, sepanjang tiga hari acara itu berlangsung, sebanyak 60 vendor akan menawarkan pelbagai produk kepada pengunjung sambil bakal dihiburkan oleh Masmona Buskers.
Menurutnya, persembahan tarian singa juga akan diadakan pada 29 Januari, manakala pertunjukan basikal lipat akan berlangsung pada 30 Januari.
Selain itu katanya, penganjur bersama Sabah Foldie Owners juga akan meningkatkan kesedaran mengenai berbasikal dengan sihat dan selamat.
Jurucakap Sabah Foldie Owners Ihsanuddin Mohd Yusup berkata, kumpulan basikal lipat berkenaan akan menyediakan cabutan bertuah bernilai RM5,000 termasuk sebuah basikal lipat kepada peserta.
"Syarat untuk mengikuti cabutan bertuah ini adalah wajib membawa basikal lipat ke tapak acara dan membuat pendaftaran di meja pendaftaran selepas program 'Fun Ride' pagi.
"Seorang peserta hanya layak untuk satu tiket sahaja,” katanya.
Penganjur juga mengingatkan pengunjung untuk mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) dan mengikut segala peraturan yang ditetapkan oleh pihak ITCC.
utusanborneo.com.my/2022/01/11 |