SIBU: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya hilang kawalan dan terbabas di Jalan Pahlawan, di sini hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari.
Katanya, sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah diatur gerak ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.
“Setibanya di lokasi, Komander Operasi melaporkan kemalangan kendiri melibatkan sebuah kereta Produa Kelisa yang hilang kawalan dipercayai kemalangan kendiri dan terbabas ke atas pembahagi jalan.
“Didapati mangsa, 55, berada dalam keadaan tidak sedarkan diri pada bahagian pemandu dan dalam keadaan kenderaan yang berkunci,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, pasukan bomba bertindak memecahkan cermin kereta pada bahagian pintu belakang bagi mengeluarkan mangsa dan menyerahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk pemeriksaan lanjut.
Katanya, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan KKM.



KAPSYEN: Anggota bomba cuba mengeluarkan mangsa yang tidak sedarkan diri dari kereta yang berkunci. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak KKM.
facebook.com/beritasuarasarawak Today at 03:30
|