KUCHING: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini perlu mencontohi usaha 38 Yayasan Pencinta Amal yang sentiasa memperhebatkan kerja amal mereka kepada golongan memerlukan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Masyarakat Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kerajaan sentiasa mengalu-alukan usaha sedemikian yang dilihat cukup baik dalam membantu meringankan beban rakyat.
Katanya, pelbagai sumbangan dan bantuan diberikan oleh pertubuhan tersebut tanpa mengira kaum, agama, jantina dan kawasan.
“Saya telah menyaksikan 38 Yayasan Pencinta Amal menyumbang 1,000 pek makanan kering kepada yang meraikan Tahun Baru Cina bagi rakyat miskin di kawasan N56 Dalat Pada 22 Januari 2022.
“Saya berharap NGO atau badan korporat lain di Sarawak mencontohi kerja baik 38 Yayasan Pencinta Amal dalam usaha kita ke arah menyediakan jaringan keselamatan untuk golongan miskin dan memerlukan dalam masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Amal Tahun Baharu Cina untuk Salvation Army dan Boys Home di sini pada Isnin.
Seramai 80 kanak-kanak dari Salvation Army dan Boys Home menerima sumbangan angpau daripada 38 Yayasan Pencinta Amal.
Seramai 80 kanak-kanak dari Salvation Army dan Boys Home menerima sumbangan angpau daripada 38 Yayasan Pencinta Amal.

Fatimah memberi angpau kepada kanak-kanak Salvation Army dan Boys Home
Fatimah berkata lagi, apabila ekonomi sesorang dapat ditingkatkan, ia secara tidak langsung akan meningkatkan taraf hidup keluarga, kualiti hidup dan ekonomi isi rumah tertentu itu.
“Jadi apa yang telah anda (38 Yayasan Pencinta Amal) lakukan sebenarnya bukan sahaja membantu seorang, tetapi membantu seluruh komuniti,” katanya.
Mengenai majlis amal Tahun Baharu Cina itu, Fatimah berkata, ia merupakan satu lagi acara yang memberi tumpuan kepada kanak-kanak yang kurang bernasib.
“Kita tahu kanak-kanak yang ditempatkan di Salvation Army dan Boys Home ini memerlukan perhatian khusus bukan setakat hanya bantuan keperluan asas bahkan kasih sayang. Dan itulah yang dilakukan oleh 38 Yayasan Pencinta Amal hari ini dengan meraikan dan memberi tumpuan kepada kanak-kanak dan ia merupakan satu lagi tindakan mulia,” katanya.
utusanborneo.com.my/2022/01/25 |