
BAU: Projek pemasangan 285 unit lampu solar sepanjang Jalan Bau-Batu Kitang merupakan salah satu hadiah kerajaan untuk rakyat di daerah ini. Menteri Muda Pengangkutan Datuk Henry Harry Jinep berkata, ia dilaksanakan bagi mengutamakan keselamatan rakyat dan pengguna jalan raya.
Dedahnya, berdasarkan laporan dan data daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau, jumlah kemalangan berlaku sepanjang jalan tersebut sebanyak 2,014 kes sepanjang 2015 hingga 2020.
“Daripada jumlah tersebut, 68 kemalangan melibatkan kematian, 104 kes cedera parah dan selebihnya mengalami cedera ringan ataupun tidak dilaporkan.
“Justeru, kerajan komited dalam mencari alternatif lain dengan menyediakan lampu jalan iaitu pembinaan lampu solar sepanjang jalan tersebut,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke SK Segong, di sini, semalam.
Tambah Henry yang juga Adun Tasik Biru, kemudahan lampu solar tersebut diluluskan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dengan peruntukan kira-kira RM2 juta.
“Oleh itu, pengguna jalan raya dapat menikmati perjalanan yang lebih selesa dan selamat kerana ramai daripada mereka yang berulang-alik dari bandar ke kampung untuk tugas harian dan sebagainya.
“Kita perlu lampu tersebut untuk kawasan yang gelap, selekoh tajam, jalan beralun disebabkan kuari dan sebagainya,” jelasnya lagi.
Ditanya mengenai pemilihan lampu solar, beliau menyatakan bahawa alternatif ini sangat cepat dan mudah sementara menunggu pembinaan jalan raya empat lorong di jalan tersebut.
“Jika kita memulakan pembinaan jalan raya, lampu solar ini boleh dipindahkan dan masih mempunyai lampu, tetapi jika kita menggunakan lampu elektrik, ia tidak dapat dipindahkan dan jalan tidak mempunyai lampu.
“Sebab itu Jabatan Kerja Raya (JKR) menyarankan untuk kita menggunakan lampu solar ini,” katanya lagi.
Dalam masa sama, beliau berharap agar pembinaan projek lampu solar di sepanjang jalan ini akan siap sebelum perayaan Hari Gawai Dayak tahun ini.
sarawakvoice.com/2022/02/04 |