View: 552|Reply: 0
|
Penempatan tentera terbesar di Belarus sejak Perang Dingin
[Copy link]
|
|
Imej satelit tersebut menunjukkan peralatan ketenteraan ditempatkan di salah satu kawasan di Rechitsa pada Jumaat lalu. - Foto: AFP
WASHINGTON - Imej satelit dikeluarkan Maxar Technologies berpusat di Amerika Syarikat (AS) pada Ahad menunjukkan perincian aktiviti ketenteraan di sempadan Belarus-Ukraine menjelang latihan ketenteraan bersama diumumkan Moscow dan Minsk di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat antara Kremlin dan Barat.
Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) bagaimanapun menyifatkan ia sebagai penempatan tentera terbesar di Belarus sejak Perang Dingin.
Gambar satelit itu jelas memaparkan unit tentera bersenjatakan misil, pelancar roket dan pesawat penyerang telah ditempatkan di tiga lokasi di Minsk yang berhampiran sempadan Kiev.
"Penempatan peralatan ketenteraan itu dikesan berhampiran Yelsk, Rechitsa dan Luninets pada Jumaat lalu. Kesemua lokasi tersebut berada dalam lingkungan 50 kilometer dari sempadan Ukraine," jelas Maxar Technologies dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, Rusia dan Belarus mengesahkan ia akan melancarkan latihan ketenteraan bersama digelar Union Resolve 22 bermula Khamis ini sehingga 20 Februari depan yang memfokuskan latihan untuk menangkis serangan di kawasan sempadan selatan pakatan mereka.
Dalam perkembangan berkaitan, Canselor Jerman, Olaf Scholz pada Ahad mengumumkan beliau bersedia untuk mengerahkan pasukan tentera tambahan ke Lithuania untuk menyokong sayap timur Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
"Kami siap siaga untuk melakukan semua yang perlu untuk memperkukuhkan pasukan tempur di Vilnius," ujarnya sambil menambah beliau akan membincangkan tentang perkara itu bersama pemimpin tiga negara Baltik, Estonia, Latvia dan Lithuania yang dijadualkan di Berlin pada Khamis ini.
Scholz sekali lagi menolak penghantaran bekalan senjata ke Ukraine berikutan dasar negara itu yang tidak menghantar senjata ke zon konflik.
Sebelum ini, NATO mengerahkan unit tempur multinasional terdiri daripada kira-kira 5,000 anggota tentera ke Poland, Lithuania, Latvia dan Estonia sebagai respons terhadap tindakan Moscow yang menguasai wilayah Crimea pada 2014.
Difahamkan, Amerika Syarikat (AS) telah mengarahkan kira-kira 3,000 anggota tentera untuk memperkukuhkan pertahanan di Poland dan Romania selepas kebimbangan semakin meningkat jika Rusia menceroboh Ukraine. - Agensi
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/a ... sejak-Perang-Dingin
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|