
KUCHING: Seorang penganggur wanita dijatuhi hukuman penjara satu hari dan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret hari ini akibat mencuri syampu, lampu suluh basikal dan beberapa deodoran di sebuah pasar raya di sini pada Mac 2021.
Majistret Zaiton Anuar memerintahkan hukuman penjara bagi tertuduh, Zur Kamiena Aida Kamal, 31, untuk dikuatkuasakan hari ini dan mengarahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah pasar raya iaitu peruncit perkakas rumah di Jalan Matang di sini pada 3 Mac 2021, jam lebih kurang 8 malam.
Antara barangan yang dicuri ialah enam botol syampu bernilai RM69, sebuah lampu suluh basikal berharga RM39 dan sembilan unit deodoran berjumlah RM47.70.
Berdasarkan keterangan kes, penyelia pasar raya berkenaan (pengadu) membuat pemeriksaan rondaan di dalam kedai sebelum terserempak dengan tertuduh yang berada dalam keadaan mencurigakan.
Pengadu seterusnya memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati tertuduh mencuri beberapa barangan di premis tersebut.
Pengadu kemudiannya berjumpa dengan tertuduh dan meminta kebenaran untuk memeriksa beg tangan milik tertuduh serta menjumpai barangan yang dicuri.
Tertuduh diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Jumlah kerugian dianggarkan sebanyak RM155.70.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga sepuluh tahun dan denda.
Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang sementara tertuduh tidak diwakili peguam.
utusanborneo.com.my/2022/02/11 |