|
VIRGIL Abloh. FOTO fail AFP
New York: Agensi lelongan, Sotheby's memaklumkan 200 pasang kasut Louis Vuitton dan Nike 'Air Force 1' yang dicipta pereka terkenal Amerika Syarikat (AS) Virgil Abloh dijual pada harga AS$25 juta (kira-kira RM104.6 juta).
Jurucakap agensi lelongan itu berkata kepada AFP, kasut paling mahal yang berjaya dilelong berharga AS$350,000 (kira-kira RM1.4 juta) ketika lelongan dalam talian pada 26 Januari hingga Selasa lalu.
Jumlah keseluruhan lelongan itu melebihi anggaran yang dibuat Sotheby's dengan nilai bidaan bermula AS$2,000 (kira-kira RM8,369).
Pada mulanya, ia dijangka hanya boleh dijual sekitar harga AS$5,000 (kira-kira RM20,900) hingga AS$15,000 (kira-kira RM62,700) bagi sepasang kasut.
Namun, kasut bersaiz antara lima hingga 18 itu berjaya dilelong secara purata pada harga AS$100,000 (kira-kira RM418,400).
Kasut paling murah dapat dilelong pada harga AS$75,000 (kira-kira RM313,800).
Kasut edisi terhad itu dibuat menggunakan kulit lembu adalah rekaan asli untuk koleksi musim panas Louis Vuitton pada 2022, dengan Abloh menjadi pengarah artistik.
|
|