
SOKONGAN: Alan (tiga kanan), Andy (dua kanan) dan jawatankuasa NSJA menerima tajaan beras daripada Shun Shen Lee Trading (Miri) Sdn Bhd.
MIRI: Hadiah keseluruhan bernilai RM5,000 menanti pemenang Pertandingan Fotografi Sayangi Miri Tahun Baharu Cina (TBC) 2022 anjuran Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA).
Antara hadiah ditawarkan termasuk wang tunai, bank kuasa (powerbank) 50000mAh, lima kilogram beras wangi bunga teluki jenama Shun Rice dan sijil penghargaan.
Pertandingan itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu terbuka dan ahli-ahli NSJA, justeru masyarakat di Miri dialu-alukan menyertai pertandingan ini dan tarikh tutup penyertaan pada 18 Februari ini.
Dalam pada itu, rakan penaja Shun Shen Lee Trading (Miri) Sdn Bhd memberi sokongan pertandingan ini dengan menyumbang 14 kampit beras selepas menerima kunjungan hormat NSJA diketuai Presidennya Andy Jong dan pengerusi penganjur Alan Yong.
Andy berkata, pertandingan itu bagi membantu mempromosikan suasana TBC 2022 di sekitar bandar raya ini selain dapat memperkenal dan mempromosi bandar raya Miri yang menyumbang kepada industri pelancongan.
“Tema pertandingan ialah suasana TBC 2022 sekitar bandar raya Miri bermakna peserta perlu mengambil gambar berkaitan suasana dan hiasan TBC sekitar bandar raya ini.
“Peserta hanya perlu menghantar gambar penyertaan melalui e-mel ke [email protected] dengan menyertakan maklumat peribadi seperti nama penuh, nombor kad pengenalan, nombor telefon bimbit, alamat e-mel dan slogan sebelum tarikh tutup pada 18 Februari ini.
“Penganjur memuat naik semua gambar penyertaan di laman Facebook rasmi NSJA Miri untuk proses undian umum bermula 19 hingga 28 Februari ini,” katanya.
utusanborneo.com.my/2022/02/13 |