
OPERASI: Pasukan bomba masih menjalankan operasi SAR di kawasan laut Pulau Sakar.
LAHAD DATU: Seorang kru kapal dikhuatiri lemas selepas terjatuh di kawasan laut Pulau Sakar, di sini semalam.
Mangsa berumur 41 tahun itu dipercayai terjatuh dari kapal berkenaan ketika sedang melakukan kerja sebelum laporan dibuat berhubung kejadian tersebut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Samsoa Rashid berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.19 petang.
“Susulan itu, empat anggota dan pegawai bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa hilang di laut.
“Sebaik tiba, pasukan bomba difahamkan kru kapal berkenaan telah terjatuh di laut ketika sedang melakukan kerja menurunkan pukat,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Katanya, pasukan bomba menjalankan SAR seawal jam 7 pagi tadi selepas operasi kelmarin ditangguhkan kerana mangsa gagal ditemukan.
“Sehingga jam 11.30 pagi tadi, belum ada sebarang petunjuk mangsa ditemukan, namun SAR masih diteruskan dalam kawasan yang lebih luas lagi termasuk di persisir Pulau Sakar.
“Sebarang maklumat operasi SAR yang dijalankan akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.
utusanborneo.com.my/2022/02/14
|