
KUCHING: Pembentangan lima Rang Undang-Undang (RUU) menjadi tumpuan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUN) Ke-19 yang bermula hari ini, Isnin hingga Rabu.
RUU tersebut akan dibentangkan pada hari kedua dan ketiga persidangan melibatkan RUU Perbekalan Tambahan (2021), 2022; RUU (Pindaan) Perlembagaan Negeri Sarawak 2022; RUU Tafsiran (Pindaan) 2022; RUU Lembaga Kemajuan Sagu Dan Nipah, 2022 dan RUU Lembaga Perindustrian Getah Sarawak 2022.
RUU Perbekalan Tambahan (2021), 2022 akan dibentangkan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, RUU (Pindaan) Perlembagaan Negeri Sarawak 2022 akan dibentangkan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah manakala RUU Tafsiran (Pindaan) 2022 akan dibentangkan oleh Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
Dua lagi RUU iaitu RUU Lembaga Kemajuan Sagu Dan Nipah, 2022 dan RUU Lembaga Perindustrian Getah Sarawak 2022 akan dibentangkan oleh Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.
Pesidangan kali ini diadakan tanpa perasmian oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan yang pertama diadakan selepas Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN12) pada 18 Disember lepas.
Ia diadakan sebagai mematuhi keperluan seperti yang termaktub dalam Perkara 21 (4) Perlembagaan Negeri Sarawak yang menetapkan bahawa, setiap kali DUN yang baharu hendaklah dipanggil bermesyuarat pada tarikh tidak lewat daripada 120 hari dari tarikh pembubaran.
Selain itu, tiada sesi soal jawab di dalam dewan dan tiada sesi penggulungan oleh para menteri diadakan pada persidangan kali ini.
Persidangan hari ini dimulakan dengan bacaan doa, disusuli dengan bacaan perisytiharan persidangan dan upacara angkat sumpah oleh kesemua 82 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Ia diteruskan dengan pemasyhuran daripada Speaker DUN, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.
sarawakvoice.com/2022/02/14 |