
MIRI: Padah melakukan perbuatan khianat dengan membakar sebuah kereta milik seorang lelaki, dua sahabat masing-masing dijatuhi hukuman penjara tiga dan lima tahun oleh Mahkamah Majistret di sini.
Hukuman itu dijatuhkan Majistret Nazira Adlin Ahmad Khairul Razi setelah meneliti beberapa aspek termasuk pengakuan salah dan rayuan kedua-dua tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan dilakukan mereka serta mengambil kira kepentingan awam.
Pada masa sama, mahkamah telah mengeluarkan waran tangkap ke atas tertuduh pertama, Alexander Jupa kerana gagal hadir untuk sebutan kes semalam.
Mahkamah memerintahkan waran tangkap dikeluarkan ke atas tertuduh dikembalikan pada 16 Mac depan.
Alexander Jupa, Bob Geren Francis dan Andrew Jupa didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.
Mengikut kesalahan ini, mereka boleh dikenakan hukuman penjara 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Menurut keterangan kes, kedua-dua tertuduh didapati melakukan perbuatan khianat dengan api iaitu membakar sebuah kereta bernombor pendaftaran QKY40xx kepunyaan Lau Jik Sing, 36, sehingga menyebabkan kerosakan bernilai RM2,000.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat bersama jam 3.40 pagi, pada 15 Disember 2020 di hadapan sebuah lot kedai di Taman Tunku di sini.
Setelah mendengar pengakuan bersalah kedua-dua tertuduh, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM2,000 atau dua bulan penjara ke atas Bob.
Manakala Andrew dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda RM3,000 atau tiga bulan penjara.
Pendakwaan dilakukan Inspektor Mudzilawati Abdul Rahman manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela.
utusanborneo.com.my/2022/02/15 |