
TANGKAP: Dua suspek yang ditahan polis untuk siasatan lanjut.
TATAU: Dua suspek dicekup dan sebuah kereta dengan beberapa barang disyaki barang curi telah dirampas oleh sepasukan anggota polis Cawangan Ronda Cegah Jenayah Balai Polis Bintulu di tepi Jalan Sebiew, di sini jam 10.30 pagi 10 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Tatau DSP Jame Reis berkata, dua suspek yang ditangkap masing-masing berumur 34 dan 35 tahun yang beralamat di dua rumah panjang di Tatau merupakan pemandu dan penumpang kereta tersebut.
Katanya barangan yang dirampas terdiri daripada sebuah kereta, serangkai anak kunci kenderaan, 26 biji 'Abc Triangular Bracket', 151 biji 'D-Iron Bracket' dan 124 biji 'Galvanised Bolt and Nut' disembunyikan di tempat duduk belakang dan bonet kereta terbabit.
"Penangkapan suspek dan rampasan barang terbabit dilakukan oleh sepasukan polis Bintulu yang terserempak dengan sebauh kenderaan dalam keadaan mencurigakan dinaiki dua lelaki semasa melakukan tugas rondaan cegah jenayah di kawasan tersebut," ujarnya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, anggota polis telah memintas kenderaan tersebut dan mengarahkannya berhenti di bahu jalan dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek memiliki barang yang disyaki dicuri.
Ujarnya, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan kedua-dua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tatau untuk tindakan dan siasatan.
utusanborneo.com.my/2022/02/16 |