
BANTU: Peserta Latihan EX-STORM serta MOSAR memberikan bantuan kepada mangsa yang mengalami kecederaan.
RANAU: Seorang lelaki cedera selepas terjatuh semasa dalam perjalanan mendaki Gunung Kinabalu di sini semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau Ridhwan Taib berkata kejadian jam 11.58 pagi berlaku apabila mangsa berumur 27 tahun berada di Kilometer 5.8 Gunung Kinabalu.
“Panggilan kecemasan diterima daripada Malim Gunung yang memaklumkan kejadian membabitkan pendaki lelaki yang mengalami kecederaan di bahagian lutut.
“Mangsa kemudiannya diberikan rawatan awal oleh Pasukan Bantuan Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR) dan peserta Latihan Mekanisme Tindak Balas dan Operasi Pasukan Khas (EX-STORM) sebelum dibawa turun ke Timpohon Gate menggunakan pengusung,” katanya.
Menurutnya mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Ranau menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk mendapatkan rawatan selanjutnya. Tambahnya operasi ditamatkan jam 5.02 petang.
utusanborneo.com.my/2022/02/16 |