
KUCHING: Padah mengintai dan merakam rakan perempuan sedang mandi, seorang pembantu dapur restoran dijatuhi hukuman denda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret, hari ini.
Tertuduh Simon Ragon, 31, mengaku bersalah sebaik pertuduhan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan, lelaki dari Kampung Ma’ang itu didakwa mengaibkan kehormatan mangsa berusia 20 tahun dengan menceroboh privasi mangsa iaitu dengan cara mengintai dan merakam mangsa sedang mandi.
Perbuatan itu didakwa dilakukannya pada 12 Februari lalu, kira-kira jam 12.51 tengah hari di sebuah asrama pekerja di Jalan Tun Jugah di sini.
Berdasarkan keterangan kes, rakan mangsa menyedari tertuduh merakam mangsa mandi menerusi tingkap bilik mandi dengan menggunakan kamera yang diubah suai dan disambungkan ke telefon bimbitnya.
Rakan mangsa kemudian pergi ke kawasan menyidai baju dan merakam semula perbuatan tertuduh untuk dijadikan bukti.
Selepas itu, rakan mangsa menghubungi majikan untuk memberitahu akan hal ini dan pihak majikan terus menangkap tertuduh serta membawanya ke balai polis.
Difahamkan, tertuduh bertindak demikian susulan cintanya ditolak oleh mangsa.
Sehubungan itu, Majistret Zaiton Anuar menetapkan tertuduh dijatuhi hukuman denda RM2,000 atau lima bulan penjara sekiranya gagal membayar.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam dilaporkan belum membayar denda berkenaan setakat berita ini ditulis.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang.
utusanborneo.com.my/2022/02/16 |