
KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) meluluskan penubuhan Lembaga Kemajuan Sagu dan Nipah (LKSN) untuk membantu kerajaan dalam perancangannya bagi memastikan daya maju dan kemampanan industri sagu dan nipah masa depan di Sarawak.
Ia selepas Rang Undang-Undang Lembaga Kemajuan Sagu dan Nipah, 2022 yang dibentangkan oleh Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom pada persidangan DUN, hari ini mendapat sokongan sebulat suara daripada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).
Ketika membentangkan usul berkenaan, Rundi yang juga Adun Kemena berkata LKSN, yang berada di bawah bidang kuasa kementeriannya akan membawa kepada peningkatan dalam produktiviti, penggunaan teknologi baharu dan menggalakkan pembangunan teratur sektor huluan dan hiliran sagu dan nipah.
Beliau menambah ia khususnya dalam melaksanakan dan mempromosikan komoditi berkenaan dan aktiviti berkaitannya untuk pekebun kecil di Sarawak.
“LKSN mempunyai objektif utama untuk mempromosi, memudahkan dan membangunkan industri sagu dan nipah sebagai sempadan baharu untuk memaksimumkan pulangan ekonomi dan meningkatkan pendapatan pekebun kecil.
“Ia juga akan menggubal objektif strategik, dasar dan keutamaan bagi pembangunan teratur dan pentadbiran sagu dan nipah di Sarawak,” katanya.
Menjelas lanjut, Rundi berkata bidang kuasa LKSN meliputi semua aktiviti huluan dan hiliran industri sagu dan nipah termasuk penanaman sagu dan nipah, pemprosesan dan penggunaan sagu dan nipah, pengeluaran pati sagu dan nipah, pembuatan produk sagu dan nipah termasuk sebarang perkhidmatan yang berkaitan dengannya.
“Semua aktiviti ini akan dikawal selia dengan pelaksanaan skim pendaftaran dan pelesenan serta aktiviti penguatkuasaan,” katanya.
sarawakvoice.com/2022/02/16 |