CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 485|Reply: 0

[Terengganu] Penduduk Kampung Baru Serada minta hentikan aktiviti korek pasir

[Copy link]
Post time 22-2-2022 03:20 PM | Show all posts |Read mode

ABDUL Halim (kanan) bersama penduduk melihat keadaan tanah runtuh dan hakisan tebing sungai yang dikatakan berpunca daripada aktiviti mengorek pasir di sungai Kampung Baru Serada. FOTO Zaid Salim

Kuala Terengganu: Lebih 50 penduduk Kampung Baru Serada, di sini, yang tinggal berhampiran sungai bimbang berikutan tanah runtuh dan hakisan yang dikatakan berpunca daripada aktiviti mengorek pasir sejak lebih dua tahun lalu.

Meskipun pelbagai aduan sudah dibuat kepada pihak berkaitan termasuk pemimpin masyarakat, namun isu terbabit masih berlarutan.

Penduduk mendakwa, kesan daripada aktiviti itu juga menyebabkan ada dalam kalangan mereka mengalami kerugian berikutan tanaman seperti duku tumbang ke sungai.

Penduduk, Abdul Halim Razak, 46, berkata, dia kecewa apabila aduan dibuat bagi menyelesaikan isu itu umpama dipandang sepi.

"Sebelum ini, penduduk membuat aduan dan mengharapkan lesen aktiviti mengorek pasir di sungai berkenaan tidak disambung selepas tamat pada Disember tahun lalu.

"Namun, kami kecewa dan beranggapan pihak berkaitan tidak serius melihat masalah yang dialami penduduk apabila syarikat berkenaan dibenarkan meneruskan aktiviti itu," katanya ditemui du lokasi hari ini.

Menurut Abdul Halim, susulan aduan, ada pihak yang datang melihat keadaan tanah runtuh dan hakisan tetapi dakwanya, hanya sekadar mengambil gambar sebelum senyap tanpa sebarang tindakan.

Katanya, keadaan semakin meruncing apabila hakisan menyebabkan berlaku tanah runtuh sedikit demi sedikit dan ia menghampiri kawasan kediaman.

"Setakat ini penduduk tidak mengambil sebarang tindakan termasuk menuntut ganti rugi kerana runtuhan itu menyebabkan banyak tanaman seperti pokok duku dan kelapa sawit tumbang.

"Saya juga risau dengan keadaan kandang ternakan lembu yang hanya menunggu masa untuk runtuh.

Abdul Halim berkata, dia juga kecewa apabila pihak berkaitan seolah-olah mahu melepas tangan dengan masing-masing menuding jari antara satu sama lain.

Menurutnya, dia keliru dan tidak tahu agensi sebenar bagi urusan pengeluaran lesen untuk aktiviti berkenaan.

"Saya membuat aduan di Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan pernah berjumpa dengan pengurusan syarikat yang mengendalikan aktiviti itu tetapi mereka mendakwa lesen dikeluarkan Pejabat Daerah, namun pejabat terbabit pula mendakwa lesen dikeluarkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

"Mereka menuding jari antara satu sama lain, tetapi yang menjadi mangsa adalah penduduk," katanya.

Seorang lagi penduduk, Ismail Abdullah, 70, berkata, dia meminta kerjasama pihak berkaitan menyelesaikan segera isu berkenaan sebelum ia menyebabkan kerugian lebih besar terhadap penduduk.

"Kami meminta jasa baik pihak berkaitan supaya memandang serius masalah dihadapi penduduk," katanya.

Menurutnya, hakisan tanah menyebabkan beberapa kawasan sepanjang lebih 300 meter runtuh.

Katanya, hakisan tebing sungai kini menghampiri kawasan loji air yang terletak di tepi sungai kampung berkenaan.

"Aktiviti sama pernah dilakukan di sungai berkenaan beberapa tahun lalu dan syarikat terbabit segera menghentikan operasi selepas menerima bantahan penduduk," katanya.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

2-2-2025 08:05 PM GMT+8 , Processed in 0.065740 second(s), 10 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list