|
Keadaan rumah keluarga Nor Haizan yang dinaiki air di Kampung Kajang Sebidang. NSTP/ NIK ABDULLAH NIK OMAR
TUMPAT: Enam sekeluarga dari Kampung Kajang Sebidang di sini, terpaksa menjadikan rumah burung layang-layang sebagai tempat perlindungan sejak lima hari lalu selepas rumah mereka dinaiki air.
Ahli keluarga Nor Haizan Mohd Din, 39, kini berteduh di tingkat dua bangunan yang dijadikan pusat ternakan burung layang-layang yang diusahakan keluarga bersebelahan kediaman mereka.
Nor Haizan berkata, air dalam rumahnya mencecah paras 0.5 meter, manakala di kawasan halaman pula hampir 1.5 meter dan situasi itu sering dialami mereka sekeluarga menjelang musim tengkujuh.
"Pada Ahad lalu, air mulai melimpah masuk ke kawasan kampung dan menjelang tengah hari, ia semakin meningkat dengan cepat menyebabkan kami keluar rumah melalui tingkap sebelum menaiki bot berpindah ke bangunan ternakan burung layang-layang di sebelah rumah.
"Rumah burung layang-layang ini dibina sejak lapan tahun lalu dan ketika banjir, tingkat dua bangunan itu memang dijadikan tempat kami berpindah.
"Selain ahli keluarga dan saudara-mara, bangunan yang turut dilengkapi bekalan elektrik serta tandas ini juga ditumpangi penduduk kampung yang enggan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS)," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Nor Haizan berkata, walaupun peralatan dalam rumahnya sudah diletakkan di tempat tinggi, masih ada kerosakan berlaku membabitkan sofa dan almari yang tidak sempat dialih kerana air melimpah dengan cepat.
Beliau berkata, dua kereta jenis PERODUA Kancil milik keluarga juga tenggelam kerana tidak sempat dibawa keluar.
"Hari ini paras air sudah semakin menurun, namun sebahagian ruang dalam rumah masih digenangi air.
"Kami mula melakukan kerja pembersihan dengan segera bagi mengelak kotoran bertukar menjadi lumut dan sukar dibersihkan," katanya.
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|