|
HARIMAU yang ditemui berkeliaran di sebuah ladang sawit di Hulu Dungun. FOTO Ihsan penduduk
Dungun: Selepas cuba menerkam penghantar makanan di belakang Taman Bersekutu pada Rabu lalu, seekor lagi harimau didakwa berkeliaran di sebuah ladang sawit di Hulu Paka, di sini, semalam.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, pihaknya sudah memasang sebuah perangkap bagi menangkap harimau belang itu.
Menurutnya, tindakan itu diambil susulan aduan yang diterima Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
"Anggota Perhilitan bergegas ke kawasan itu untuk menjalankan siasatan sebaik menerima aduan, dan turut memasang perangkap agar binatang liar itu berjaya ditangkap," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Berhubung dua rakaman video mengenai penemuan harimau di kawasan ladang sawit di Durian Mas, Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS) yang tersebar, Kean Seong berkata, pihaknya tidak menerima sebarang aduan.
"Individu yang merakam dan memuat naik video berkenaan perlu menghubungi pihak kami dengan segera untuk mengenal pasti lokasi sebenar penemuan harimau itu.
"Jika terbukti benar, kita dapat menggunakannya sebagai maklumat tambahan untuk kesan, jejak dan seterusnya dapat menangkap harimau terbabit, "katanya.
Menurutnya, pihaknya berharap orang ramai tidak mudah menyebar atau berkongsi video penemuan haiwan liar itu tanpa maklumat yang sahih kerana akan menimbulkan panik dan ketakutan.
Pada Januari lalu, Perhilitan Terengganu memasang dua perangkap untuk menangkap harimau yang ditemui berkeliaran di sekitar ladang sawit Kampung Teladas, Kemaman.
Ia dilakukan susulan aduan daripada penternak lembu mendakwa berlaku serangan harimau ke atas ternakan mereka.
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|