|

SIBU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong Datuk Seri Tiong King Sing (gambar) mengakui Pelan Pembangunan Semula Bukit Assek adalah baik untuk pembangunan jangka panjang bagi seluruh kawasan tersebut.
Bagaimanapun katanya, beliau tidak bersetuju dengan cadangan pembinaan kolam tadahan air yang merupakan terbesar di Sarawak di kawasan itu pada masa ini.
Tiong yang juga Ahli Parlimen Bintulu mempersoalkan kejadian akan berlaku sekiranya kolam tersebut melebihi kapasiti dan melimpah akibat hujan sekiranya masalah pengairan dan saliran tidak diatasi terlebih dahulu.
“Ke mana perginya air limpahan ini?
“Sama seperti apa yang berlaku di empangan, apabila air melimpah, menyebabkan banjir, sebab itu penting untuk mengorek dan mendalamkan sungai-sungai utama termasuk anak-anak sungai yang berkaitan bagi mengatasi masalah banjir ini,” kata Tiong dalam satu kenyataan di sini, malam tadi.
Beliau berkata, selain Batang Rajang dan Batang Igan, sungai lain di Sibu seperti Sungai Seduan, Sungai Salim dan Sungai Teku yang berkelodak juga perlu dibersih dan didalamkan segera.
Keadaan sungai yang cetek dan dipenuhi sampah akan menyebabkan sistem pengairan tidak berjalan dengan baik dan lancar, tambah Tiong.
“Jadi berbanding menumpukan sepenuhnya kepada pembinaan kolam tadahan air dan tebatan banjir semata-mata, adalah lebih baik kita juga tidak mengabaikan usaha menangani masalah asas di sungai yang berkaitan.
“Kita perlu memastikan sungai terbabit dikorek sedalam-dalamnya dan pergerakan air ke laut berjalan lancar.
"Perancangan untuk membina empangan pada ketika ini dikhuatiri hanya menyukarkan kita mengawal kejadian tidak diingini, malah boleh memburukkan lagi keadaan seperti banjir kilat,” tegasnya.
Tiong berkata, keadaan di kawasan ini tidak lagi sebagus ketika beliau kanak-kanak dahulu.
Beliau memerhatikan, kawasan itu bertahun-tahun melalui pelbagai pembangunan seperti kawasan perumahan, kawasan komersial dan pembangunan lain yang tidak diurus dengan baik sehingga mengakibatkan sistem pengairan dan perparitan bermasalah, malah tidak dinaik taraf mengikut spesifikasi yang sepatutnya.
Beliau seterusnya berkata, ditambah pula dengan pembalakan yang aktif pada masa lalu menyebabkan sistem pengairan tidak berfungsi dengan baik dan saliran tersumbat mengakibatkan banjir yang serius.
Keadaan ini menyebabkan tanah gambut dan kerosakan struktur tanah di kawasan ini menjadi lebih teruk, katanya.
“Lihatlah Kuala Lumpur yang mempunyai banyak tasik buatan atau kolam tadahan air.
"Akibat saliran sungai tersumbat dan tercemar dengan sampah di Sungai Klang menyebabkan banjir.
“Oleh itu cadangan untuk membina lebih banyak kolam tadahan air tidak akan membantu kita mengatasi masalah itu sekiranya perkara asas yang melibatkan sistem pengairan atau saliran tidak ditangani dengan baik,” kata Tiong.
credit
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|