|
KUALA TERENGGANU: Beberapa pembekal kanopi di negeri ini terpaksa menolak banyak tempahan untuk pemasangan kanopi bagi kegunaan bazar Ramadan selepas stok dimiliki mereka tidak dapat menampung peningkatan mendadak jumlah peniaga.
Ahmad Zainal Awang, 56, dari Manir di sini, mengesahkan menerima tempahan pemasangan 150 kanopi bersaiz 6.1 meter di enam tapak bazar Ramadan tahun ini.
Bagaimanapun, katanya, dia hanya mampu menyediakan 72 kanopi di tiga tapak bazar Ramadan iaitu di Batu Enam, Bukit Besar dan di Kampung Mengadang Baru.
"Pada Ramadan tahun lalu, kami menerima tempahan hanya 48 kanopi untuk dipasang di lima tapak bazar Ramadan.
"Kita terpaksa menolak tempahan pemasangan kanopi di tiga tapak bazar Ramadan masing-masing di Pantai Batu Burok, Shah Bandar dan di Pantai Teluk Ketapang di Kuala Nerus," katanya ketika ditemui di tapak bazar Ramadan di perkarangan Pasar Bukit Besar di sini, hari ini.
Ahmad Zainal yang juga pesara Jabatan Belia dan Sukan (JPS) negeri, mengesahkan kelonggaran kerajaan bagi membolehkan lebih ramai peniaga menjalankan perniagaan bagi meningkatkan sektor ekonomi sempena peralihan fasa endemik, menjadi punca kanopi tidak mencukupi.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak, menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi sekiranya penganjur dan peniaga bazar Ramadan gagal mematuhi prosedur operasi ditetapkan (SOP) ditetapkan.
Katanya, kerajaan negeri meluluskan 63 lokasi bazar Ramadan tahun ini di semua daerah membabitkan 5,342 peniaga, meningkat 12 peratus berbanding 4,781 orang pada tahun lalu.
"Peningkatan jumlah peniaga bazar Ramadan itu berikutan ekonomi kembali stabil serta wujudnya peniaga baharu selepas kelonggaran diberikan kerajaan," katanya.
Beliau pada masa sama mengingatkan dalam keghairahan peniaga dan pengunjung menyambut Ramadan, pematuhan SOP bagi mengelakkan penularan COVID-19 perlu diutamakan.
"Kerajaan negeri menyarankan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun tidak dibenarkan memasuki bazar Ramadan," katanya.
Ahmad Zainal (kiri) bersama isteri memasang kanopi di tapak bazar Ramadan di perkarangan Pasar Bukit Besar (PBB) hari ini. - NSTP/Baharom Bakar |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|