|
MOHD Syahbuddin. FOTO Arkib NSTP
Kota Bharu: Kerajaan negeri dicadangkan untuk memberi diskaun sebanyak 50 peratus ke atas bil air kepada pengguna yang mengalami masalah bekalan air di negeri itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, kaedah itu mampu meredakan kemarahan rakyat yang terkesan dengan masalah air sejak beberapa tahun yang lalu.
Menurutnya, terdapat 3,000 keluarga termasuk 1,500 di Bandar Utama dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas, Gua Musang yang terkesan dengan masalah air sejak lebih setahun lalu.
"Masalah (gangguan bekalan) air di Bandar Utama Gua Musang (BUGM) kerana disebabkan kelewatan pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) di Bukit Chupak.
"Saya ingat masalah air ini melanda penduduk di kawasan Dun Galas sahaja, namun daerah lain juga mempunyai masalah yang sama. Bagi meredakan kemarahan rakyat, saya cadang kerajaan memberi diskaun bil air sebanyak 50 peratus.
"Tidak sepatutnya kerajaan negeri menerima musibah daripada kegagalan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) membekalkan air kepada penduduk," katanya ketika ditemui selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan ke-14, di sini, hari ini.
Terdahulu, Mohd Syahbuddin mencadangkan diskaun sebanyak 50 peratus bil air kepada rakyat yang terjejas menerusi perbahasan Titah Diraja.
Mengulas lanjut, Mohd Syahbuddin berharap cadangan potongan itu dapat dipertimbangkan oleh kerajaan negeri.
"Masalah air yang dialami oleh pengguna menunjukkan kegagalan AKSB dan isu ini tidak diselesaikan dengan baik. Potongan bil air itu juga sebagai tanda keadilan dan juga sebuah negeri yang berkebajikan," katanya.
|
|