|
PARA pekerja memasang khemah dan gerai untuk program Madinah Ramadan dan bazar Ramadan yang bakal dibuka di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu. – UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
KOTA BHARU: Naikkan harga atau kecilkan saiz juadah menjadi antara strategi kebanyakan peniaga bazar Ramadan di negeri ini bagi menyerap peningkatan kos bahan asas seperti tepung, telur dan daging.
Rata-rata peniaga memberitahu Utusan Malaysia, mereka seboleh-bolehnya enggan menaikkan harga jualan kerana bimbang tidak laku atau hilang pelanggan tetap.
Peniaga, Nik Hafiz Nik Harun, 35, berkata, dia memilih untuk mengecilkan saiz hidangan aneka jenis sup dan nasi yang akan dijual di bazar Ramadan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini.
“Sebenarnya sejak Covid-19 melanda negara dua tahun lalu, saya sudah dua kali menaikkan harga sehingga pelanggan tetap saya merungut. Jadi kali ini, saya elak naikkan harga tetapi cuba kecilkan saiz hidangan.
“Buat masa ini hidangan nasi sup daging di gerai saya kekal RM8 sebungkus, manakala nasi sup perut RM10 sebungkus, namun isi lauk di dalamnya terpaksa dikurangkan untuk elak kerugian,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Nor Nadia Mohamad, 30, yang berniaga kuih tradisi Kelantan nekbat dan akok di Melor, di sini pula berkata, dia runsing memikirkan kos telur dan tepung yang naik, selain berdepan kesukaran mendapatkan bekalan.
“Sebelum ini kuih nekbat saya jual dengan harga RM2 setiap empat biji, sekarang jadi RM2 setiap tiga biji. Kuih akok pula tahun lalu saya jual RM3 bagi setiap lima biji, tahun ini saya tetapkan harga RM4 bagi setiap enam biji, “ujarnya.- UTUSAN |
|